Angkasawan AS dijadual berjalan di angkasa


CAPE CANAVERAL, Florida: Sepasang angkasawan akan melakukan prosedur berjalan di angkasa kecemasan dan meneroka di luar Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bagi menggantikan komputer yang mengalami kerosakan hari ini.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), berkata komputer berkenaan adalah satu daripada dua komputer yang mengawal sistem utama AS di atas stesen angkasa yang mengorbit itu.

Pada Sabtu lalu, peranti utamanya mengalami kegagalan mengakibatkan makmal yang mengorbit bernilai AS$100 bilion (RM432 bilion) itu terpaksa bergantung kepada sistem bantuan untuk mengalihkan arahan kepada sistem kuasa solar, radiator, gelung penyejuk dan peralatan lain.

NASA dalam satu kenyataan berkata lima krew semasa di stesen
angkasa itu dari Amerika Syarikat, Russia dan Perancis tidak diancam bahaya.

Komander stesen, Peggy Whitson dan jurutera penerbangan, Jack Fischer, kedua-duanya anggota NASA akan bekerjasama untuk berjalan di angkasa, yang dijangka berlangsung selama dua jam, kata agensi itu.

Awal semalam, Whitson memasang dan menguji kotak elektronik tambahan untuk menggantikan peranti yang rosak, yang dipasang ketika berjalan di angkasa pada 30 Mac lalu, kata jurucakap NASA, Dan Huot.

Kali terakhir krew NASA berjalan di angkasa kecemasan adalah pada Disember 2015 apabila dua angkasawan AS meninggalkan stesen untuk melepaskan brek pada lengan robot pengangkut mudah alih.

ISS, yang dikendalikan secara bergilir oleh krew angkasawan dan cosmonaut, berfungsi sebagai makmal penyelidikan untuk biologi, sains hayat, sains bahan dan eksperimen fizik juga untuk pemerhatian astronomi dan mengimbas Bumi dari jauh.

Reuters

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :