Kerajaan tidak lupa kebajikan pesara tentera - Najib



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan pesara tentera kerana mereka dianggap wira kepada negara.

Perdana Menteri berkata, sebagai tanda menghargai keringat pesara tentera, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan mereka.

"Pada tahun 2016, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.28 bilion untuk kebajikan pesara tentera dalam pelbagai aspek.

"Peruntukan merangkumi pencen, ganjaran, faedah perubatan, baik pulih dan bina rumah, pengurusan jenazah, skim bantuan kebajikan dan sebagainya.

"Kerajaan juga ada menyediakan bantuan bencana alam dan bantuan kesihatan. Kedua-duanya sebanyak RM5,000 maksimum.

Terdapat juga bantuan kemasukan anak ke universiti sebanyak RM1,000 bagi diploma serta RM1,500 bagi ijazah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan di blog www.najibrazak.com, hari ini. Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pesara tentera juga layak menerima bantuan kewangan RM300 sebulan melalui skim bantuan sara hidup.

Najib turut mengajak rakyat berfikir sejenak dan menyingkap jasa yang dicurahkan setiap anggota pertahanan yang sedang menjalankan tugas melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.

"Pernahkan tuan-tuan dan puan-puan terfikir, bagaimana setiap hari kita dapat menjalankan pekerjaan kita, beristirehat dengan keluarga dan menghantar anak-anak ke sekolah dengan selamat? "Sedar atau tidak, pada saat ini, anggota pertahanan kita sedang berada di pesisiran pantai, di tempat awam, sedang mempertaruh nyawa menjaga keselamatan negara dari ancaman dalam dan luar.

"Jasa dan pengorbanan pesara tentera tidak akan kita lupakan sampai bila-bila. Sama-sama kita menghargai pesara tentera dan menghormati mereka sebagai wira negara," katanya.-BHOnline

Subscribe to receive free email updates: