Gara-gara pemetik api, seorang lelaki belajar ‘cara susah’ mengapa sumber api dilarang digunakan di stesen minyak atau berhampiran dengan bahan mudah terbakar.
Lelaki itu pada awalnya sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak yang terletak di bandar Taraz, wilayah Jambyl, kira-kira 1,297 kilometer dari ibu kota Kazakhstan, Astana.
Dengan alasannya mungkin untuk mengetahui sama ada tangki minyaknya sudah penuh, dia kemudian bertindak menyalakan pemetik api, menurut laporan portal Metro UK.
Sejurus itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkkan kebakaran berlaku dan akibat ‘keterlanjurannya’, dua buah lagi kenderaan milik pengunjung stesen minyak tersebut turut terbakar.
Di akhir video, asap putih kelihatan berkepul-kepul kerana beberapa orang individu yang dipercayai kakitangan stesen minyak itu bertindak pantas menggunakan pemadam api untuk memadamkan api yang semakin marak.
Perbuatan lelaki itu mendapat kecaman yang hebat menerusi media sosial setelah rakaman CCTV itu menjadi tular menerusi media sosial tempatan.
Seorang wanita di Facebook memberi pandangannya mengenai kejadian itu dengan memberi komen, “Betul-betul bodoh, budak kecil pun tahu jangan main api di stesen minyak.”
Difahamkan, lelaki itu dikatakan menggunakan minyak diesel kerana kebakaran yang berlaku tidak seteruk kebakaran yang berpunca daripada minyak petrol. – MYNEWSHUB.CC