KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langlah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap dua lelaki warga Turki yang ditangkap, kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis masih menjalankan siasatan ke atas kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dengan aktiviti yang mengancam keselamatan negara.
"Kita sebagai rakyat Malaysia cintakan keamanan dan kita tidak mengalu-alukan kedatangan orang luar yang mahu timbulkan masalah kepada masyarakat dan negara.
"Kita juga tidak mengalu-alukan kedatangan orang luar yang membawa bersama 'masalah' di negara asal mereka ke negara ini dan kemudian menimbulkan isu itu di sini," katanya kepada
pemberita pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu menghadiri majlis Perasmian Penutup Persidangan Pegawai-Pegawai Aset PDRM 2017, yang disertai 423 pegawai aset dari seluruh negara.
Ditanya mengenai kegiatan kedua-dua suspek, Khalid enggan mengulas lanjut dan menyatakan siasatan masih berjalan.
Semalam, Khalid mengesahkan kedua-dua warga Turki dikenali sebagai Turgay Karaman, 43 dan Ihsan Aslan,37, ditangkap mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan mengancam keselamatan negara.
Kelmarin, Turgay Karaman ditahan di tempat letak kereta sebuah premis di Damansara Heights, manakala Ihsan Aslan ditahan di kediamannya di sebuah lokasi di ibu negara.
Keluarga dan kenalan kedua-dua suspek yang tidak mengetahui mereka ditahan membuat laporan polis kerana menyangka kedua-duanya diculik.-BHOnline