TN50: Hidup Bermasyarakat, Jaga Alam Sekitar Antara Aspirasi Belia


KUALA LUMPUR: Penerapan nilai hidup bermasyarakat dan kesedaran menjaga keseimbangan alam sekitar adalah antara aspirasi disuarakan kira-kira 1,000 belia profesional yang menghadiri wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50). 

Diadakan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, di sini, wacana yang menampilkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai moderator perkongsian ilmiah itu sarat dengan lontaran pelbagai cadangan bagi mencorak hala tuju Malaysia. 

Keinginan belia untuk melihat rakyat Malaysia lebih mementingkan alam sekitar dan menggalas tanggungjawab itu berbanding meletakkannya di bahu kerajaan semata-mata antara aspek yang hangat diperkatakan sepanjang dua jam wacana berkenaan berlangsung. 

Khairy berkata, belia sebagai generasi pelapis mahu masyarakat yang ketika ini menerima kesan ledakan teknologi maklumat disuntik nilai hidup bermasyarakat bagi memastikan pembangunan tidak mencetuskan jurang perpaduan. 

Katanya, sikap saling membantu dan mengambil berat antara jiran yang disemai generasi terdahulu bagi mengeratkan tali perpaduan perlu mempunyai kesinambungan, sekali gus memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara
menyeluruh. 

"Walaupun dahagakan kemajuan, belia masih ingin lihat masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan kepercayaan mempunyai sikap timbang rasa, saling mengambil berat dan memiliki minda berteraskan komuniti," katanya ketika merangkumkan program Sembang TN50, di sini, hari ini. 

Wacana bertajuk: 'Profesional Muda Industri Pembinaan' itu turut menampilkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai panel, selain disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kontraktor dan profesional muda dalam industri pembinaan dari dalam serta luar negara. 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Cadangan lain yang diutarakan menerusi penganjuran wacana itu adalah menggubal dasar supaya produk, tenaga dan warisan tempatan dijadikan keutamaan dalam setiap pembinaan bangunan. 

Peningkatan kualiti kehidupan untuk segenap rakyat juga perlu dijadikan teras keutamaan kerajaan dalam merangka pembangunan kerana kawasan kediaman sedia ada disifatkan tidak menyuntik sebarang kecenderungan aspek komunikasi antara masyarakat. 

Kepincangan interaksi antara masyarakat dikatakan berpunca daripada kekurangan kemudahan untuk aktiviti riadah yang berupaya dijadikan 'jambatan' untuk membentuk komuniti lebih dinamik. - BH

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :