Empat maut dalam tiga kejadian tembakan berasingan di wilayah Pattani dan Narathiwat, selatan Thailand petang semalam.
Menurut Ketua Polis Pattani Mej Jen Piyawat Chalermsi, kejadian pertama berlaku pada pukul 5 petang waktu tempatan di daerah Thung Yang Daeng, Pattani apabila seorang sukarelawan tempatan maut ditembak ketika pulang dari membeli juadah berbuka puasa.
“Mangsa yang menaiki motosikal ditembak dan mati ditempat kejadian. Turut
terbunuh dalam kejadian itu adalah seorang awam yang berada berhampiran kawasan kejadian,” katanya.
Senjata api milik sukarelawan terbabit turut dibawa lari oleh penyerang tidak dikenali itu, katanya.
Dalam kejadian kedua kira-kira 20 minit selepas itu, penolong ketua kampung Mukim Kerasak di Mayo, Pattani dikenali sebagai Abdullah Set mati ditembak penyerang tidak dikenali di hadapan kawasan rumahnya.
Sebelum itu pada 2 petang, seorang penduduk, Bakri Naing, 41, ditemui mati di hadapan rumahnya di Takbai, Narathiwat dengan kesan-kesan tembakan di bahagian kepala dan badan.
Pihak polis sedang menyiasat ketiga-tiga kejadian itu.-BNBBC