KUALA LUMPUR: Coca-Cola Malaysia bakal mempunyai enam barisan pengeluaran produk berbanding tiga ketika ini apabila projek pembesaran kilang di Nilai, Negeri Sembilan siap pada penghujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Coca-Cola Bottling Investment Group Singapura-Malaysia-Brunei, Stephen Lusk berkata, pihaknya terus komited untuk mempelbagaikan barisan produk keluaran Coca-Cola khusus bagi pasaran tempatan.
Jelas beliau, sejak melancarkan semula perniagaannya pada 2010 Coca-Cola telah melabur sebanyak RM1 bilion dan tambahan RM500 juta diperuntukkan bagi membesar dan meningkatkan pengeluaran kilangnya di Nilai.
“Coca-Cola dibotolkan di Malaysia sejak tahun 1936 dan kami berbangga bahawa proses pembesaran kilang ini membolehkan kami meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mempelbagaikan produk pada masa depan. Fasa terakhir pembesaran kilang dijangka siap pada penghujung 2018.
“Kilang sedia ada telah beroperasi pada 2011 dan ia adalah antara kilang pembotolan Coca-Cola paling canggih dan paling tinggi pengeluarannya di rantau ini. Kapasiti pengeluaran yang besar membolehkan produk-produk kami dibekalkan untuk pasaran Singapura dan Brunei,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Menurut Lusk, Coca-Cola Malaysia secara berterusan akan melabur dalam penghasilan dan inovasi produk-produk berasakan jus, teh dan air minuman.
Katanya, pihaknya turut melancarkan Coca-Cola Zero Sugar bagi menggalakkan orang ramai menikmati minuman tanpa gula tetapi mempunyai rasa sama seperti Coca-Cola asli.
“Pengenalan produk tersebut selari dengan komitmen kami yang menyokong dasar kerajaan yang mahukan lebih banyak produk rendah gula dan kalori bagi pasaran tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Lusk memberitahu bahawa tugas beliau sebagai CEO Coca-Cola Malaysia akan berakhir dalam masa terdekat.
“Saya berharap pengganti saya akan meneruskan kecemerlangan Coca-Cola di Malaysia dan mahu melihat lebih banyak barisan produk baharu dikeluarkan pada masa depan,” katanya.- Utusan Malaysia