TOKYO: Prestasi jurulatih Jepun, Vahid Halilhodzic akan dinilai semula selepas sekadar seri 1-1 dengan Iraq pada kempen kelayakan Piala Dunia, kelmarin.
Bos bola sepak Jepun jelas berang dengan keputusan perlawanan yang berlangsung di gelanggang berkecuali di Tehran, sambil menegaskan cuaca panas bukan alasan kukuh.
"Ia (cuaca panas) bukan alasan. Kita hampir tewas pada perlawanan itu," kata Ketua Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kozo Tashima. "Kita bertuah dapat raih satu mata."
Skuad Samurai Biru mendahului di awal permainan, namun di babak kedua kualiti dipamerkan Jepun makin menurun sehingga menyaksikan Iraq berjaya menyamakan kedudukan.
Namun Jepun masih berpeluang layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan, jika menewaskan Australia di gelanggang sendiri, 31 Ogos ini.
Halilhodzic nyata kecewa dengan apa yang ditunjukkan anak buahnya sambil menegaskan kecederaan jadi halangan untuk mereka tampil lebih baik.
"Sudah pasti saya tidak berpuas hati. Saya beritahu yang kita mampu 'menamatkan' perlawanan itu jika berjaya raih gol kedua tetapi ia tidak dapat dilakukan." - AFP