KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bas dinaiki pemain serta pegawai skuad Liga Super Sarawak di Jalan UMS berhampiran lampu isyarat Alamesra, di sini, malam ini.
Dalam kejadian jam 8 malam, penunggang berusia 24 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari arah kompleks beli-belah 1Borneo menuju ke Stadium Likas, manakala motosikal terbabit juga dari arah yang sama.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang bas berkenaan. Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Berikutan kemalangan itu, perlawanan persahabatan skuad Sarawak bertemu Sabah di Stadium Likas yang sepatutnya bermula pada jam 9 malam tadi ditangguh ke jam 9.45 malam.
Skuad Sarawak kini berada di Kota Kinabalu bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan iaitu dua aksi bertemu skuad Liga Perdana Sabah serta satu lagi menentang skuad Piala Presiden Sabah. - BHOnline