Seperti yang pernah dimaklumkan pada akhir Mei lalu, kini Perodua Myvi telah pun mencapai satu juta unit produksi yang dicatatkan hujung minggu lalu.
Diperkenalkan pada Mei 2005 dan menjadi model kereta nombor satu di Malaysia sehingga akhir tahun 2014, setakat ini Myvi masih menjadi antara model terhangat yang mendapat jumlah jualan yang memberangsangkan di negara ini.
“Perodua Myvi telah menetapkan standard baru bagi kami dengan menawarkan sesuatu yang diingini oleh para pelanggan dan ia menjadi penanda aras bagi semua model akan datang kami,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Majlis meraikan kejayaan ini telah pun dilangsungkan di fasiliti pengeluaran di Sungai Choh, Rawang, yang dirasmikan oleh Presiden Perodua Corporation Sdn Bhd (PCSB) Masanori Takahashi dan Timbalan Presiden PCSB, Dato’ Zainal Abidin
Ahmad.
Menurut Aminar lagi, berdasarkan pengiraan dalaman, semua model Perodua termasuk Alza, Axia dan Bezza menjadi model kenderaan yang digemari dalam segmen masing-masing.
Untuk lima bulan pertama tahun ini, Perodua telah menjual 81,900 unit kenderaannya iaitu meningkat sebanyak 5.9% berbanding 77,300 unit dalam tempoh yang sama pada tahun 2016.
“Kami menjangkakan jumlah keseluruhan industri bagi lima bulan pertama tahun ini mampu mencapai 233,700 unit. Berdasarkan angka ini, pengkongsian pasaran bagi tahun ini mampu mencecah 35%. Malah kami cukup optimis mampu mencapai sasaran jualan sebantyak 202,000 unit bagi tahun ini biarpun berhadapan dengan situasi yang mencabar dalam industri ini,” ujar Aminar.
Sehingga kini, Myvi telah dijual di tujuh buah negara termasuk Sri Lanka, Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal di bawah jenama Perodua. Malah Indonesia pula merupakan pasaran eksport terbesar bagi Myvi tetapi di bawah jenama Daihatsu Sirion, mencapai hampir 31,000 unit jualan sejak tahun 2007. Secara keseluruhan, Perodua telah mengeksport 35,400 unit Myvi/Sirion sejak 2006 di beberapa pasaran yang disebut. - Paultan