MIRI: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut di sini pada Jumaat.
“Kami akan mengumumkan calon bagi PRK Pujut di sini Jumaat nanti dan calon dipilih ini adalah individu tempatan yang memenuhi kriteria DAP,” katanya pada sidang media di Miri semalam, lapor Utusan Borneo
Menurutnya, memandangkan Selasa depan (20 Jun) adalah hari penamaan calon, maka amat bersesuaian DAP Sarawak mengumumkan calon lebih awal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Jun hari penamaan calon dan 4 Julai hari mengundi bagi PRK DUN Pujut.
Kerusi DUN Pujut kosong setelah Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bersidang pada 12 Mei lalu meluluskan usul melucutkan jawatan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon.
Perlucutan kelayakan Dr Ting dari DAP berpandukan Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan negeri Sarawak kerana mendapatkan kewarganegaraan Australia sebelum ini.
Ting didakwa melanggar Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan seseorang tidak layak dipilih menjadi ahli dewan undangan negeri sekiranya dia pernah, antara lain, secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan atau menggunakan hak warganegara di mana-mana negara di luar persekutuan atau telah mengisytiharkan taat setia kepada mana-mana negara di luar persekutuan Malaysia.
Pada PRN ke-11 lalu, Dr Ting memenangi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 setelah memperolehi 8,899 undi, menewaskan calon BN, Hii King Chiong yang hanya mendapat 7,140 undi, calon PAS, Jofri (513 undi) dan calon Bebas, Fong Pau Teck (375 undi). - Sarawakiana