MIRI - Kadar indek jenayah untuk tempoh enam bulan pada tahun ini bagi bandaraya Miri terutama melibatkan kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda menunjukkan trend penurunan.
Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, dalam tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2016 kes jenayah kekerasan dilaporkan sebanyak 83 kes namun telah menurun pada tahun ini iaitu sebanyak 77 kes untuk tempoh yang sama.
“Kes ini menunjukkan penurunan enam kes iaitu persamaan 5.2 peratus,”katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri di sini hari ini.
Bagi kes jenayah harta benda, beliau berkata, sebanyak 442 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2016 dan menurun kepada 391 kes pada tahun ini iaitu menurun sebanyak 51 kes atau 27 peratus.
Beliau berkata, penurunan kadar indek jenayah untuk jenayah kekerasan dan jenayah harta benda berpunca daripada komitmen tinggi pegawai membanteras jenayah dan kerjasama rapat dengan masyarakat sekeliling.
Dalam majlis yang sama turut menyerahkan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 49 pegawai serta kakitangan. –Bernama