Kerajaan Tak Kawal Harga Beras Import


SITIAWAN: Kerajaan tidak mengawal atau menetapkan harga siling bagi beras import, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya memastikan beras import tidak boleh dijual lebih murah daripada beras tempatan bagi melindungi industri beras dan padi tempatan.

"(Harga beras import) ini bukan di bawah kawalan kita, ia bergantung kepada banyak faktor lain," katanya selepas perasmian Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Lumut, hari
ini.

Perasmian institut itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ahmad Shabery diminta mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pemborong Beras, Wu Zi Lian, semalam yang menjangka harga beras import akan meningkat 10 peratus dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya akhir tahun ini, berikutan peningkatan harga beras dunia.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, ia sekadar ramalan persatuan itu tetapi tidak menolak kemungkinan itu kerana sebelum ini harga beras dunia antara AS$340 hingga AS$350 setan metrik tetapi kini sudah meningkat kepada AS$400 setan metrik.

Katanya, ketika ini hanya 10 peratus daripada pengeluaran beras dunia yang diperdagangkan di pasaran antarabangsa. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :