LOS ANGELES: Bintang bola sepak Amerika Syarikat, O J Simpson bakal dibebaskan dari penjara, selepas menjalani hukuman penjara selama hampir sembilan tahun atas kesalahan terbabit dalam kes rompakan bersenjata.
Keputusan itu dicapai selepas empat anggota lembaga parol di Nevada sebulat suara memutuskan untuk membebaskan Simpson, 70, dalam sesi pendengaran awam yang disiarkan secara langsung oleh rangkaian berita tempatan.
Simpson yang menundukkan kepala dan kedengaran mengucapkan 'terima kasih' kepada pesuruhjaya parol, bakal dibebaskan seawal 1 Oktober depan.
"Anda tahukan, saya sudah menjalani hukuman. Saya sudah menjalaninya dengan sebaik-baiknya seperti orang lain," katanya kepada lembaga parol yang berbincang selama 30 minit sebelum mengumumkan keputusan berkenaan.
Pada 1995, Simpson didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh bekas isteri, Nicole Brown Simpson dan teman lelakinya, Ron Goldman.
Bagaimanapun, pada 2008, beliau dipenjara kerana terbabit insiden rombakan bersenjata ke atas dua pengedar barang memorabilia sukan di sebuah resort di Las Vegas. - AFP