SIBU: Walaupun keputusan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) masih belum dimuktamadkan, beberapa individu dilihat aktif melobi sama ada bergerak sendiri mahupun diarahkan parti.
Calon berpotensi bagi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kelvin Kong turut tidak terkecuali mengadakan tinjauan mesra sambil menghulurkan sumbangan di beberapa rumah panjang di Parlimen Lanang baru-baru ini.
Tinjauan Kelvin diiringi Unit Bumiputera SUPP Dudong dengan mengunjungi 10 rumah panjang di kawasan Sungai Naman.
Memetik laporan Utusan Borneo, Kelvin menggesa penduduk rumah panjang memberi sokongan kepada sesiapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) pada PRU14 akan datang.
Pada masa sama beliau turut menerangkan betapa pentingnya PRU14 untuk BN merampas semula kerusi Parlimen Lanang daripada pembangkang.
"Jika kita berjaya merampas semula kerusi Parlimen Lanang ini, kawasan ini akan menikmati lebih banyak pembangunan daripada kerajaan," katanya.-Sarawakiana