Tolak Pas keputusan tegas PH beri ruang politik baharu muncul


bendera Pas PH 2
Rakyat mahu ketegasan Pakatan Harapan (PH) untuk menamatkan hayat Barisan Nasional (BN) dengan memberi peluang kepada politik baharu muncul dengan satu suara yang akan melenyapkan kebimbangan  pengundi terhadap pertandingan 3 penjuru dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, dengan keputusan PH dalam mesyuarat majlis presiden baru-baru ini PKR juga perlu tangani  tularan wujudnya 'kartel' dalam parti itu dan tidak perlu mengheret PH dalam persaingan dalamannya.
"Tiada siapa yang menghalang mana-mana parti komponen secara individu berhubung dengan mana-mana pihak namun jika ada kesan kepada organisasi parti PH, parti komponen lain berhak menimbulkan soalan khususnya tentang masa depan PH.
"Hubungan selektif Pas-PKR menimbulkan kebimbangan kepada parti komponen dan para pendokong PH. Ini memandangkan alasan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ialah mahu mengelak pertembungan 3 penjuru. Demikian alasan kelompok PKR yang bersetuju dengan Azmin.
"Nampaknya ia alasan yang kelihatan penuh skema, namun keperluan memutuskan sikap berdolak-dalik Pas adalah sebahagian daripada jawapan kepada 3 penjuru.
"Bagaimana ketegasan PH dapat menjawab soalan 3 penjuru? Ketegasan PH memungkinkan Pas terus tersisih dari kerangka gabungan pembangkang agar pengundi dapat membuat keputusan lebih mudah," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru ujarnya lagi, dengan keputusan PH itu, maka Pas juga terpaksa membuat keputusan secara tegas sama ada mahu masuk cara solo atau ada rundingan sulit dengan Umno.
"Itu masalah Pas yang akan dinilai oleh pengundi nanti. Melayan sikap Pas hanya mengukuhkan persepsi PH lemah dan berpecah. Itu yang Umno mahu.

"Kelibat mazhab elak 3 penjuru sering mengganggu ketegasan yang dituntut oleh rakyat dan usaha sebilangan besar komponen PH. Ya! 3 penjuru menghantui kita tetapi kita juga ada ruang masa untuk memberi penjelasan dan perkembangan baru dapat menampung kehilangan pengaruh Pas. 3 Penjuru adalah realiti yang mampu ditangani dengan ketegasan PH menolak perangai flip-flop Pas dalam melawan UMNO/BN. "Ramai yang kecewa dengan Pas dan sesiapa sahaja yang bermazhabkan elak 3 penjuru kerana berhemoi (hidung tak mancung pipi tersorong-sorong) kepada parti yang mempermainkan kepentingan membuang kerajaan kleptokrasi BN," ujarnya.
Ahli Parlimen Parit Buntar ini juga berkasta, kepelikan sikap Pas pada isu 1MDB dan hubungan 'gelap' parti itu dengan Umno menyebabkan ia mendapat jolokan 'makan keliling' bak sebagaimana kata Ahli Parlimen Pas Datuk Mahfuz Omar.
"Ia tanggapan negatif pada PH jika hubungan selektif Pas -PKR berterusan.
"AMANAH menerima isu keterlibatan Pas dalam kerajaan Selangor dengan dada terbuka tetapi ini bukan bermakna mazhab elak 3 penjuru mewajarkan tindakan 'ambil kesempatan' suasana ke atas survival PH di mata pengundi seluruh negara," ujarnya.

Subscribe to receive free email updates: