Menyifatkannya sebagai taktik kotor dan jijik, Dzulkifli sebaliknya bertegas tidak akan tunduk kepada serangan berkenaan.
Katanya, beliau akan kekal tegas dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta tidak akan membenarkan taktik kotor dan jijik berkenaan mengganggu tugas yang telah diamanahkan kepadanya.
Tindakan-tindakan kami tidak akan terjejas dengan serangan kotor dan jijik seperti ini, ujarnya.
Alhamdulillah, semua pihak tentunya menyokong usaha SPRM memerangi rasuah sebagaimana yang ditegaskannya itu, dengan syarat ia mestilah dilakukan dengan jujur, ikhlas dan tanpa memilih bulu.
Tetapi, ada dua perkara dalam isu yang melibatkan Dzulkifli dan penjelasan yang ditampilkannya itu.
Pertama, sementara menyifatkan penyebaran video berhubung dirinya itu sebagai taktik kotor dan jijik, beliau sebenarnya masih tidak menjawab persoalan-persoalan yang sedang bermain di fikiran masyarakat ketika ini.
Antaranya, beliau masih tidak menjelaskan sama ada benar atau tidak dirinya mempunyai hubungan intim dengan wanita berkenaan yang didakwa ketika itu masih lagi bersuami dan betulkah juga gambar-gambar yang tersebar mengenai percutiannya ke Bali itu?
Daripada satu segi, mendedahkan keaiban orang lain memanglah suatu perbuatan yang tidak baik, tetapi mempunyai hubungan terlarang dengan wanita lain, apa lagi jika benar sudah bersuami dan dalam wibawa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang disanjung tinggi oleh masyarakat sehingga diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat mengenai rasuah, tentulah juga suatu tingkah laku yang kotor dan jijik.
Kalau "ya", katalah "ya" dan kalau "tidak", katalah "tidak" berserta dengan hujah dan bukti-buktinya sekali.
Kiranya Dzulkifli hanya lelaki biasa dan tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan, menjalin hubungan dengan siapa pun barangkali adalah hal peribadinya, tetapi memandangkan jawatan dan kedudukannya ialah untuk "membersih dan menanggalkan kekotoran" dalam masyarakat, dari segi moralnya beliau mestilah juga seorang yang bersih dan dilihat bersih terlebih dahulu.
Read More / Baca Lagi >>