AMANAH kecam Felda buat taklimat PRU libatkan peneroka

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam Felda kerana masih sibuk mengadakan pertemuan bersifat politik ketika agensi itu terus dibelenggu masalah.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim mendakwa agensi terbabit merancang satu program bersama peneroka di Trolak, Perak menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Penganjuran Majlis Taklimat Ambang PRU ke-14 Felda Wilayah Trolak itu dijadualkan berlangsung pada 10 Februari depan.
"Surat undangan bertarikh 26 Januari itu bukti terang-terangan menunjukkan Felda dipergunakan BN untuk menghadapi PRU14," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairol Najib berkata Felda adalah agensi yang bertanggungjawab untuk membela masyarakat Felda dalam hal melibatkan pengurusan tanah pertanian dan kebajikan peneroka seluruhnya, bukannya menjadi perkakas Umno dan BN.
Berdasarkan surat yang disertakan Khairol Najib, pertemuan dan taklimat itu melibatkan 12 kepimpinan rancangan mengikut kategori seperti pengurus rancangan, ketua peneroka, pengerusi Gerakan Persatuan Wanita dan Pengerusi Kami Anak Felda.
Pertemuan itu dijangka diadakan di sebuah hotel di Ipoh pada jam 7.45 malam.
Khairol Najib yang juga Ketua Pemuda AMANAH Tanjung Malim itu turut membantah sekeras-keras penyalahgunaan kuasa Felda untuk tujuan berkenaan.
“Kami juga kesal dengan tindakan Pengurus Besar Felda Wilayah Trolak yang melanggar etika profesionalisme sebagai seorang penjawat awam apabila menggunakan agensi itu untuk program kepartian apatah lagi dengan menggunakan dana peneroka,” katanya.
Sementara itu Felda ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan mereka memang mengeluarkan surat berkenaan.
Bagaimanapun pegawai yang dihubungi itu enggan mengulas lanjut.

Subscribe to receive free email updates: