Kalau ruang menipu tak ada, benarkan pemerhati antarabangsa pantau PRU14

SUPAYA tidak berlaku penipuan dalam pilihan raya umum (PRU), Perdana Menteri Najib Razak patut menjemput pemerhati antarabangsa memantau PRU14 nanti, kata pengguna media sosial.
Respons mereka itu berikutan kenyataan Najib semalam selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.
“Peluang untuk menipu boleh kata tidak ada langsung," katanya kepada pemberita.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata begitu sebagai tindak balas terhadap pertemuan pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan pengkritik tegar beliau iaitu Dr Mahathir Mohamad dengan diplomat Kesatuan Eropah (EU) yang ada menyentuh unsur gerimander oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Najib membakulsampahkan dakwaan itu dengan berkata yang sistem sedia ada sama sahaja dengan seperti yang diamalkan sebelum ini.
"Jadi bagaimana mereka kata pilihan raya tidak adil, Kenapa 22 tahun tidak buat aduan mengenai sistem ini? Sistem ini sama dengan yang diamalkan sejak dulu sampai sekarang. Malah, lebih baik dari dulu.”
Bagaimanapun rata-rata pengguna media sosial kekal skeptik dengan kenyataan Najib itu termasuklah seorang pengguna Facebook, Jovi Yeong yang menyamakan kenyataan itu umpama pencuri yang tak mengaku mencuri.
Sementara itu, Cheah Sin Kooi dalam postingnya berkata, Najib tak patut menganggap rakyat Malaysia bodoh.
“Bagi saya, gerimander dan salah pembahagian dalam daftar pemilih adalah satu bentuk penipuan… Saya garu belakang awak, awak garu belakang saya juga adalah satu bentuk penipuan bagi saya… Kaki-kaki yang membelenggu pendaftaran logo PH juga satu bentuk penipuan bagi saya,” katanya melalui Facebook.
Di Twitter, seorang pengguna @azean_nasan berkata banyak perkara yang berlaku berlawanan dengan kenyataan Najib.
“Nama pengundi hilang, SPR buat persempadanan semula, yang bertukar alamat pun ada… dan yang paling nampak sangat di Selangor, SPR lambatkan pendaftaran… Semua tu bukan ke untuk menangkan Umno?”
Malah, pengguna Twitter @MohdSayutiOmar juga berkongsi pendatan yang sama mengenai persempadanan semula yang dilakukan SPR.
“Kata Najib sistem pengundian sudah telus tak mungkin berlaku penipuan. Tapi bukankah pindaan sempadan di kawasan terpilih adalah "penipuan" yg diberikan lesen kpd SPR untuk pastikan Umno-BN selamat?”
Sementara itu, @Takahashi92 berkata lidah bercabang Najib melebihi perangai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Lupakan Trump, Najib paling hebat dalam bab lidah bercabang,” kata Takashi melalui akaun Twitter-nya.
Bagaimanapun, Pengguna Facebook Shahbudin Husin berkata Najib patut mengalu-alukan kehadiran pemerhati antarabangsa dengan tangan terbuka sebagai bukti kepada kenyataannya.
“Kenapa pula dia nak mengelak dan cakap yang perjumpaan PH dengan duta EU tindakan terdesak dan cubaan untuk mendapatkan bantuan asing?” kata Shahbudin.
Turut menyuarakan sentimen sama, Adam Aqill yang berkata Najib patut membenarkan pemerhati antarabangsa atau sesiapa pun yang mahu memantau PRU14.
Pada 29 Januari lalu, Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan kenyataan Menteri Luar Negeri Anifah Aman berhubung pertemuan PH dengan sekumpulan duta EU yang didakwa sebagai mengancam maruah negara.
Dr Wan Azizah sebaliknya berkata, apa yang mencemarkan nama baik negara adalah apa yang terjadi kepada skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum itu, timbalan presiden PH Mohamad Sabu berkata perbincangan dengan duta negara-negara EU berkisar tentang pentingnya dunia mendesak Najib memberi jaminan PRU14 berjalan dengan adil.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: