Najib bukan bapanya, jangan undi dia, kata Dr Mahathir


 NAJIB Razak bukan bapanya, Abdul Razak Hussein dan ia sesuatu yang mengecewakan, kata Dr Mahathir Mohamad di hadapan kira-kira 1,000 orang ketika beliau merayu mereka jangan mengundi perdana menteri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

 Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata tidak seperti bapanya, Najib tidak menyumbang ke arah pembangunan Malaysia tetapi lebih kepada memusnahkan negara ini. 

"Saya akui saya yang jadikan Najib perdana menteri. Saya buat sebab Abdul Razak (bapa Najib). 

 "Dia (bapa Najibdisayangi kerana sumbangannya kepada negara, terutama di kawasan luar bandar dan tanah rancangan Felda. 

 "Anak Abdul Razak tidak sama sepertinya, tidak ada kualiti seperti bapanya," kata Dr Mahathir pada program ceramah di Chini 2, Pekan, Pahang malam tadi. 

Razak menjadi mentor Dr Mahathir dalam politik yang memimpin jalannya sehingga menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini. 

 Dr Mahathir, 92, berkata Najib memilih untuk keluar daripada masalah, bukannya bekerja keras seperti Razak. 

 "Bila dia jadi PM, dia kata duit itu raja. Duit boleh beli apa saja, termasuk undi. 

"Itulah cara Najib. Bapa dia tidak seperti dia. Dia kerja kuat sehingga akhir hayatnya," kata Dr Mahathir. 

 "Felda kubu kuat Umno. Ia deposit tetap untuk Umno. Walaupun Felda penyokong kuat Umno, mereka patut fikir sekali lagi." 

 Dr Mahathir berkata peneroka di Felda patut mengikut jejak langkahnya dan keluar daripada Umno. 

 "Saya yakin kali ini kita dapat ubah kerajaan. Najib memainkan faktor kaum. Melayu dan Cina terbahagi. Melayu mudah terpengaruh dengan duit. 

 "Tetapi kali ini, orang Melayu tidak seperti itu. Jika dia beri duit, ambil tetapi jangan beri dia undi," katanya. 

 Dr Mahathir berkata beliau membantu Najib menjadi PM dan malah berkempen untuknya pada PRU sebelum ini. 

 Najib menjadi ahli Parlimen Pekan sejak 1976. Beliau menewaskan bekas timbalan ketua Pemuda PKR Fariz Musa dengan majoriti 35,613 pada 2013. 

Selepas tidak bersetuju dengan cara pengurusan Putrajaya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015, Dr Mahathir mula menjadi pengkiritik Najib yang paling lantang. 

 Ceramah di Pekan malam tadi adalah program kedua Dr Mahathir selepas keluar dari hospital, baru-baru ini. 

 Pengerusi Bersatu itu yang turun padang sejak tahun lalu, meningkatkan serangannya terhadap Umno dan Barisan Nasional menjelang PRU14. 

 Malam tadi, beliau diiiringi Presiden Amanah Mohammad Sabu, Setiausaha PH Saifuddin Nasution, Ronnie Liu daripada DAP dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Themalaysianinsight

Subscribe to receive free email updates: