FENOMENA MAKCIK PAKCIK BAWANG DAN POLITIK NEGARA

Sejak kebelakangan ini, dua bahan masakan yang makin popular iaitu kunyit dan bawang. Namun, kepopularan bawang mengatasi kunyit atas faktor pakcik dan makcik bawang. Fenomena pakcik dan makcik bawang dikatakan bermula apabila acara memotong bawang semasa kenduri diselangi dengan aktiviti mengumpat dan mengata jiran tetangga. Dengan adanya media sosial, aktiviti ini telah berjangkit ke ruangan komen sama ada di Facebook atau pun instagram.

Sumber : Facebook
Kini bukan sahaja wujudnya makcik bawang, malah golongan lelaki juga menyokong aktiviti 'membawang' sehingga wujudnya gelaran pakcik bawang. Ianya merupakan aktiviti kegemaran ramai pengguna media sosial terutamanya kaum Melayu. Bermula dari halaman 'Kisah Rumah Tangga', kini apa sahaja isu akan dihiasi dengan komen-komen membawang dan golongan ini. Yang terbaharu, artis antarabangsa Dua Lipa terpaksa mengedit paparan Instagram beliau kerana di'bawang'kan oleh pengomen dari Malaysia kerana istilah babi (yang bermaksud ayah dalam Bahasa Albania).

Apa signifikannya aktiviti membawang ini dengan rakyat Malaysia? Pertama, kerana rakyat ketika ini mampu melanggan pelan internet sama ada di rumah atau di telefon bimbit untuk memuat naik komen-komen yang menjaga tepi kain orang lain. Liputan internet yang semakin menyeluruh di negara ini membuatkan ramai yang mendakwa internet sebagai satu keperluan walaupun sebenarnya ianya hanyalah kehendak. Caj internet bukanlah murah, akan tetapi ramai yang tidak kisah membayarnya kerana trend kepenggunaan negara ini semakin ke arah dunia tanpa wayar (wireless world).

Kedua, rakyat Malaysia kini lebih terarah kepada perkara-perkara sampingan seperti gosip dan perkara-perkara viral. Jika orang dahulu mungkin mendapatkan gosip artis daripada majalah Mangga dan URTV atau pun rancangan
Melodi, kini gosip-gosip artis menjadi santapan harian pengguna internet. Sampai kucing milik artis pun ramai yang menjadi pengikutnya. Belum lagi yang biasa-biasa tiba-tiba menjadi insta famous. Baru menggedik kerana kehabisan cendol pun dah mendapat follower melebihi 100,000 orang.

Jadi apa kaitannya dengan politik negara? Kajian dijalankan oleh Merdeka Centre tahun lepas menunjukkan golongan muda kurang berminat dengan politik. Daripada 604 orang responden, 70% tidak ambil kisah mengenai politik. Mungkin jika dibuat kajian yang sama tahun 2013, dapatannya berbeza. Semasa Pilihan Raya Umum ke 13, golongan muda merupakan golongan yang aktif berpolitik di media sosial. Jika ada isu nasional atau pun tuduhan yang dibuat oleh pembangkang seperti 40,000 pengundi Bangla, mereka antara yang aktif berkongsi dan menyebarkan isu tersebut. Namun keadaan agak berbeza ketika ini. Walaupun menghampiri pilihan raya, tidak nampak kesungguhan golongan muda bercerita mengenai politik negara. Jika ada sekali pun, mereka merupakan penyokong parti atau gerakan politik. Lebih banyak isu-isu atau kandungan viral yang lebih menarik minat mereka berbanding politik.

Mungkin situasi politik negara selepas Tun Mahathir menyertai pembangkang memberikan kepada golongan muda atas pagar. Di blok pembangkang, mereka telah didoktrinkan bahawa Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin yang korup, zalim dan tidak boleh disokong. Apabila keadaan menjadi sebaliknya, ramai di kalangan mereka yang tidak dapat menerima hakikat sehingga gerakan #undirosak dilancarkan oleh bekas-bekas penyokong pembangkang ini. Jika di tanya kepada anak muda yang lain, walaupun sudah mendaftar, ada yang tidak mahu keluar mengundi kerana mereka merasakan ianya tidak memberi manfaat kepada mereka.

Mungkin pemerhatian penulis salah. Tetapi itu yang kelihatan di media sosial ketika ini. Kelesuan semangat berpolitik anak muda ini bukan sahaja dirasai di Malaysia, malah di luar negara juga sama. Yang boleh membuktikan bahawa artikel ini salah adalah kehadiran anak muda semasa hari pengundian nanti. Adakah mereka akan mengulangi peratusan keluar mengundi yang tinggi seperti PRU 13 atau merekodkan penurunan. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

*Nota kaki - Peningkatan keluar mengundi anak muda yang tinggi semasa PRU 13 tidak membantu Barisan Nasional sebaliknya memberi kelebihan kepada pembangkang. Ini kerana ada di antara mereka yang mengundi dengan emosi kerana hasutan 40,000 pengundi Bangla. Barisan Nasional tidak menang kerana pengundi yang emosional tetapi yang rasional. Kerana itulah mobilisasi pengundi yang dikenalpasti penting bagi memastikan kemenangan BN.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :