KALAU AKU TUHAN?

Oleh : Ustzh Maznah Daud 

 Ungkapan itu telah mencetuskan pelbagai tangkapan, ulasan, kutukan, gesaan dan sebagainya dari berbagai-bagai pihak.

 Adakah mereka telah mendengar atau menonton video sepenuhnya sebelum melontarkan pandangan? 

 Untuk berlaku adil, dan keadilan itu lebih dekat kepada taqwa, perhatikan petikan pertikaian lidah antara YB Baling dan YB Sepang (linknya di sini: ). Jangan komen berdasarkan laporan media sahaja atau berdasarkan komen orang lain. Dengar sendiri. 

 YB Sepang berkata: “Saya bukan tuhan, sebab itu saya tidak jadikan kamu. Kalau saya tuhan, daripada awal lagi saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Tapi sebab saya bukan tuhan, tuhan jadikan kamu supaya orang nampak siapa yang patut kita lawan” bagi menjawab tuduhan YB Baling kepadanya: “Kamu ni tuhan ke yang kamu tahu akan kalah atau menang?” 

 Ayat yang diperbesarkan adalah: “Kalau saya tuhan, daripada awal saya tak jadikan kamu”. 9 Kalau dalam Bahasa Arabnya adalah “lau”. “Lau” adalah haraf syarat yang tidak jazim, digunakan untuk perkara yang tidak mungkin. Iaitu tidak mungkin berlaku jawab kerana syarat tidak mungkin. (https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/لَوْ/

 Contohnya, Allah Taala berfirman maksudnya: “Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.” (Al-Anbiyaa' 21:22)

Ada ketikanya perkataan “lau” dilarang sebut, iaitu dengan tujuan untuk menolak takdir atau mengharap sesuatu yang telah berlaku itu tidak berlaku seperti yang dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud: 

“… sekiranya kamu ditimpa musibah, jangalah kamu berkata: “kalau aku buat begini nescaya hasilnya begini dan begini. Tetapi katakanlah: “taqdir Allah, apa yang Dia Kehendaki, Dia laksanakan! Kerana “kalau” membuka amalan syaitan.” (Sebahagian daripada hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a.) 

 Jika diperhatikan dengan teliti, saya berpendapat “kalau” yang disebut oleh YB Sepang tidak termasuk dalam kategori yang dilarang itu. Di mana tidak nampak bahawa dia berharap untuk jadi tuhan. Sebaliknya ia termasuk dalam kategori pertama, iaitu untuk menunjukkan perkara yang tidak mungkin berlaku, iaitu tidak mungkin dia menjadi tuhan. 

 Menjadi hak kita untuk berbeza pendapat, tetapi kita harus objektif dalam menilai pendapat orang lain. Kalau orang itu berada di pihak kita, cepat saja kita bersetuju dengannya. Kalau orang itu bukan berada di pihak kita, cepat saja kita menyatakan tidak bersetuju dengannya tanpa menilai hujjah serta alasannya. 

 Allahu A’lam.

Subscribe to receive free email updates: