DR LEE BOON CHYE BERSEDIA MENERIMA JAWATAN TIMBALAN MENTERI KESIHATAN

Pada 18/6/2018 saya telah menerima pangilan dari Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menawarkan jawatan Timbalan Menteri Kesihatan kepada saya.

Ketika itu saya memberitahu beliau bahawa saya menghargai tawaran tersebut tetapi menolaknya kerana ingin meneruskan profesyen saya sebagai pakar kardiologi. Pada saya ketika itu perkara ini dianggap selesai.

Akan tetapi satu senarai Jemaah Menteri yang meletakkan saya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan telah diviralkan di media sosial pada 25/6/2018. Saya terpaksa menerangkan keputusan awal saya kepada wakil media yang ingin mendapatkan pengesahan lantikan tersebut. Ekoran tindakan tersebut saya telah menerima pelbagai respon daripada kalangan pimpinan parti, penyokong dan rakan-rakan saya.

Pada 27/6/2018 saya telah menerima panggilan dan jemputan untuk majlis angkat sumpah sebagai Timbalan Menteri yang dijadualkan pada 2/7/2018.  Setelah berbincang dengan ahli keluarga saya serta pimpinan parti, khususnya Presiden Parti Keadilan Rakyat merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, saya dengan rendah diri menerima lantikan tersebut.

Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Zulkefly Ahmad, selaku Menteri Kesihatan atas nasihat dan sokongan yang diberi. Saya juga menghargai kepercayaan Perdana Menteri terhadap saya.

Saya memohon maaf atas kekeliruan dan kesulitan yang timbul akibat keputusan awal saya. Saya bersedia untuk menumpukan sepenuh masa untuk menyokong Jemaah Menteri, dan Menteri Kesihatan dalam usaha meningkatkan sistem penjagaan Kesihatan negara. 

Dr Lee Boon Chye
Ahli Parlimen P071 Gopeng
Ahli MPP, Parti Keadilan Rakyat 
28/6/2018

Subscribe to receive free email updates: