PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai sebanyak AS$6.3 juta dari beberapa lokasi semasa siasatan terhadap dakwaan penyelewengan bekas pegawai risikan kerajaan.
Jumlah terbesar AS$4.07 juta ditemui di sebuah kondominium sewa di Cyberjaya jam 11 malam tadi, sejurus selepas pihak berkuasa menahan seorang ahli perniagaan di Kelantan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, rampasan tersebut adalah nilai terbesar daripada AS$12 juta yang dipercayai milik kerajaan.
“Wang tersebut berada dalam sebuah bagasi di dalam kondominium berkenaan,” katanya.
“Perintah reman selama tujuh hari telah dikeluarkan oleh majistret terhadap ahli perniagaan berusia 47 tahun itu bermula hari ini.
“Penahanan ahli perniagaan itu menjadikan sembilan individu ditahan berhubung penyelewengan dana tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan baki hampir AS$5 juta yang mungkin berada di beberapa lokasi.
“Saya menyeru kepada mana-mana individu agar tampil memberi kerjasama dan membawa wang berkenaan kepada kami.
“SPRM memberi jaminan perlindungan terhadap mereka mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009,” katanya pada sidang media di sini.
Azam berkata, pihaknya memerlukan masa dua bulan untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.
“Kami tidak menolak ada lagi yang akan ditahan.
“Setakat ini tiga individu warga asing telah dipanggil sebagai saksi dan kami menjangkakan seramai 30 orang lagi akan turut memberi keterangan,” katanya.
Ketika ditanya apakah yang menyebabkan SPRM mengklasifikasikan wang berkenaan adalah milik kerajaan, Azam berkata, dana tersebut berada di bawah kawalan pegawai kerajaan.
“Apabila duit ini berada di bawah kawalan pegawai kerajaan, kami percaya ia adalah duit kerajaan,” katanya.- DARI SINAR HARIAN