Paria: Ahli PKR Kapar Buat Laporan Polis Terhadap Tun M


Beberapa ahli PKR Kapar membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana menggunakan perkataan “paria” ketika mengulas isu Lynas Corporation.

Dalam laporan V Maneyvannan di Balai Polis Sungai Kapar yang dilihat FMT, beliau membidas perdana menteri menggunakan perkataan itu yang didakwa mengguris hati masyarakat India.

Maneyvannan bersama 3 individu lain menuntut Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan menggesa ketua polis negara serta Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

Maneyvannan ketika dihubungi berkata, Mahathir tidak sepatutnya menggunakan perkataan itu.

“Kerana jika beliau berbuat demikian, kumpulan lain akan menggunakannya juga,” katanya yang tahu perkataan itu dalam kamus merujuk kepada golongan dipinggirkan.

Maneyvannan turut mendakwa penggunaan perkataan itu membayangkan Malaysia masih mengamalkan sistem kasta yang mencadangkan “paria” sama seperti “dalit”, iaitu golongan terendah dalam sistem kasta di India.

“Rakyat Malaysia mahu masyarakat tanpa kasta,” katanya.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, Lynas Corporation tidak boleh diminta keluar dari negara ini “seperti paria” kerana ia akan merosakkan pelaburan masa depan di Malaysia.

“Jika kita layan Lynas seperti paria dan minta mereka meninggalkan negara ini, kita tidak akan mendapat orang lain untuk datang dan melabur,” katanya ketika ditanya dakwaan pengkritik yang lesen operasi syarikat nadir bumi itu diperbaharui kerana hubungan rapatnya dengan kerajaan Jepun.

Pada 2011, perkataan “paria” mencetuskan kontroversi selepas ia digunakan dalam sebuah buku bertajuk “Interlok” lapor FMT

Subscribe to receive free email updates: