Tun Mahathir Janji Letak Jawatan Sebelum PRU-15 Pulak?


Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata pada 27 Sept 2019 beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Saya berjanji bahawa saya akan meletak jawatan sebelum pilihan raya akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada masa paling lama pun tiga tahun,” katanya dalam satu dialog yang diadakan di Majlis Hubungan Luar Negeri di New York.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Tun mengenai isu PM8 yang terbaru itu, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali berkata langkah untuk melantik presiden PKR itu sebagai perdana menteri menjelang PRU15 hanya akan 'membunuh' Pakatan Harapan (PH).

“Kalau PRU15 baru nak serah (jawatan PM pada Anwar) itu nak membunuh parti, nak membunuh PH.

"Tak ada masa untuk Anwar berkempen, dia mesti bersedia sekurangnya dua tahun untuk mengatur pelbagai rancangan dan kempen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperingati 50 tahun Dr Burhanuddin Al-Helmy di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Syed Husin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR berkata beliau secara peribadi tidak percaya dengan kata-kata perdana menteri ketujuh itu.

“Saya memang tak boleh pegang cakap dia (Mahathir).

“Mahathir ini kadang-kadang dia buat keputusan bersama dengan pimpinan tapi nanti dia akan buat benda lain. Kemudian dia akan kata 'saya lupa'. Bukan Melayu sahaja lupa, Mahathir pun selalu lupa,” katanya.

Kenyataan Syed Husin itu dibidas oleh Timbalan Pengerusi PPBM Kelantan, Sazmi Miah.

Sazmi berkata, pemimpin PKR yang mahu Anwar menjadi perdana menteri sepatutnya menunggu sehingga dua tahun, bukannya melabelkan Mahathir sebagai individu tidak boleh dipercayai.

“Mereka agak gelisah, sememangnya menunjukkan mereka kurang sabar dan seperti takut kepada bayang-bayang sendiri, belum pun tiba tarikh sebenar yang mereka war-warkan kononnya dua tahun (untuk serah jawatan) tapi sekarang sudah beria menuntut janji.

“Jadi, untuk melabel (Mahathir tidak boleh dipercayai) itu kenalah sampai masa baru boleh cakap.”

Sazmi juga bimbang sikap “celupar” sesetengah pemimpin PKR mendesak Mahathir menyerahkan jawatan kuasa kepada presiden PKR itu akan menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan.

“Dengan melabelkan perdana menteri tidak boleh dipercayai dan tidak boleh pegang janji, ia satu tuduhan yang serius, tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin parti, apatah lagi seseorang yang berkaliber seperti Syed Husin.

“Sudah tentu ia akan mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati rakan-rakan dalam PPBM, ianya umpama kita beri pandangan Anwar tidak layak dilantik perdana menteri kerana beliau adalah bekas banduan, tetapi kita tidaklah sampai tahap nak kata begitu.”

“Dengan perpecahan dalaman yang ketara dalam PKR sekarang, memang tidak wajar jawatan perdana menteri diberikan kepada Anwar, ini diketahui umum, bukan sekadar khabar angin,” kata Sazmi.

“Sebagai pemimpin dan negarawan ulung, semestinya Mahathir mengambil kira pelbagai aspek dan situasi semasa, ini bukan calang-calang jawatan, bukan nak melantik penghulu atau penggawa kampung, ianya perlu dibuat dengan penuh kebijaksanaan.”

Hmmmm....

laporan sepenuhnya silalah baca di SINI

Subscribe to receive free email updates: