Panggil Sidang Parlimen, PM Interim Cabar Kuasa Agong?


Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang (hak dan kuasa) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, susulan konflik politik yang sedang melanda negara ketika ini.

Dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi, Majlis Presiden PH berpendirian bahawa hak dan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Majlis Presiden juga berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului titah Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.

Semalam, Dr Mahathir berkata persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.

Dr Mahathir berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan ~ MMO Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, juga turut mempertikai tindakan Tun itu, katanya langkah tersebut bukan saja bercanggah dengan perlembagaan malah tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

"Semua MP mesti berkata 'Tidak' kepada sidang 2 (Mac) yang diumum perdana menteri interim. Ia tak selaras dengan perlembagaan, tidak mengikut prosedur dan tidak menghormati Agong," ciap beliau.

Bekas menteri kanan, Dr Rais Yatim yang memiliki latar belakang undang-undang mempertikaikan keributan mengenai sidang khas parlimen minggu depan.

"Kenapa masih ribut-ribut konon Dewan Rakyat akan tentukan siapa jadi PM pada 2 Mac?

"Kuasa melantik PM di tangan Yang di-Pertuan Agong bukan di Dewan Rakyat.

"Patut Agong dah buat keputusan hasil dua hari temu duga ahli parlimen," ciapnya.

Sebenarnya... Apa yang Tun M nak buat ni?

Subscribe to receive free email updates: