Hab Pendidikan Tinggi Pagoh Hampir Siap



MUAR: Fasa pertama Hab Pendidikan Tinggi Pagoh yang dibangunkan di kawasan berkeluasan lebih 200 hektar di sini hampir siap sepenuhnya dengan menempatkan empat institusi pendidikan iaitu tiga universiti awam dan sebuah politeknik.

Hanya terletak kurang dua ki­lometer dari susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan dan Plaza Tol Pagoh, hab pendidikan itu sudah pasti membawa limpahan dan manfaat yang dinantikan penduduk setempat, terutamanya di kawasan Panchor dan Pagoh apabila mula beroperasi nanti.

Pelbagai usaha dilakukan pemimpin setempat agar penduduk tidak ketinggalan dalam pembangunan berskala besar itu termasuklah UMNO Bahagian Pagoh yang komited untuk memastikan masyarakat dan usahawan tempatan responsif terhadap projek berkenaan yang diyakini membawa perubahan sosioekonomi setempat.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, beberapa usaha telah dilaksanakan supaya penduduk tempatan terlibat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan bagi menampung permintaan tinggi di kawasan berkenaan.

“Penduduk di kawasan Panchor kini hanya kira-kira 3,000 orang dan apabila Hab Pendidikan Tinggi Pagoh siap kelak, lebih 20,000 orang dijangka menghuni kawasan sekitar termasuk Pagoh.

“Ini sudah tentu memerlukan aktiviti perniagaan yang rancak bagi menampung permintaan setempat termasuklah gerai makanan, kawasan rekreasi dan prasarana sampingan lain yang secara tidak langsung boleh menjana ekonomi penduduk,” kata­nya ketika ditemui baru-baru ini.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, hab pendidikan tersebut yang menempatkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan sebuah politeknik dijangka mula beroperasi pada bila-bila masa.

“Bangunan pentadbiran keempat-empat institusi pendidikan itu sudah beroperasi secara berperingkat, tetapi para pelajar belum masuk lagi memandangkan kolej penginapan sedang dalam peringkat akhir pembinaan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai prasarana lain sedang dan akan dibangunkan termasuklah pusat kesihatan, sekolah, balai bomba dan masjid, malah sebuah stesen projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) juga terletak di kawasan tersebut.

Bagi sektor perumahan, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan beberapa pembangunan lain sedang dijalankan bagi menampung keperluan penduduk yang bertambah.- Utusan Malaysia

Subscribe to receive free email updates: