Kekalkan Keamanan, Kesefahaman Sempena Aidilfitri


KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia harus merapatkan hubungan dan kemesraan sesama insan agar nikmat keamanan, kesefahaman dan kemuafakatan antara semua yang dapat dilihat di negara ini akan sentiasa dirasai hingga ke generasi akan datang, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam kenyataan bersempena Aidilfitri yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata, MCA komited dalam menyokong usaha progresif dan kesederhanaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) demi mencipta sebuah negara Malaysia yang cemerlang untuk rakyat.

"Sememangnya, Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod terbukti dalam pentadbiran yang aman dan progresif serta membangkang segala jenis pecah-belah antara masyarakat

"Musim perayaan ini melambangkan keharmonian, kebahagiaan dan kesucian. Setiap tahun, rakyat Malaysia daripada berbilang kaum bersatu atas talian persaudaraan utuh yang menyatukan semua, tidak kira bangsa dan agama. Ternyata inilah antara keistimewaan negara kita.

"Moga bulan Syawal tahun ini membawa berkat kepada semua. Berhati-hatilah di jalan raya dan berehat seketika jika perlu. Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia," kata Liow yang juga Menteri Pengangkutan. - BERNAMA

Subscribe to receive free email updates: