Semua sudah berkampung untuk menyambut Aidilfitri esok,yang tidak dapat pulang atau tiada siapa lagi yang masih ada untuk pulang ,tetap merindui kampung halamannya dalam kenangan yang memilukan.
Ada kalanya kerinduan tidak seindah realiti yang kita hadapi.Oleh kerana tidak dapat pulang ke kampung tahun ini kerana hendak berhari raya bersama anak dan cucu-cucu di Dungun Terengganu maka saya pun pulang ke Kedah di bulan puasa untuk menziarahi lebih dahulu kubur ibu bapa yang biasanya di ziarahi di pagi raya di Bedong dan di Alor Setar.
Dan seperti kebiasaannya saya kembali ke Kota Kuala Muda Kedah tanah tumpah kelahiran saya yang bersejarah dan Indah dengan harapan untuk berbuka puasa di Masjid Kota yang meriah di bulan puasa semasa kecil di kampung,di sinilah kami bersembahyang tarawih bersama kawan-kawan tetapi alangkah sedihnya masjid ini gelap ketika kami hendak pergi berbuka puasa baru baru ini malah tidak ada azan berbuka puasa ketika kami menunggu berbuka di sebuah kedai kopi berhampiran. Apakah masjid ini tidak ada bilal dan imam. Bukankah mereka di bayar gaji atau adakah mereka merasa tidak pernah diawasi oleh Pejabat Agama Daerah?
Adakah ini hanya berlaku di masjid Kota Kuala Muda sahaja atau di masjid-masjid lain juga di Kedah yang di bawah pengawasan Jabatan Agama?
Maka itu apa yang saya dikhayalkan tentang kampung saya yang indah,meriah dan damai untuk dirasakan kembali sempena puasa dan Hari raya tidaklah lagi dalam realiti.
Kota pun tidak banyak berubah,masih dengan pasar lama sejak 70 tahun lalu malah keindahannya telah dirosakan dengan rumah-rumah haram dalam bandar di bekas stesen bas lamanya. Kotor sekali pandangan disini.
Sayang sekal ia adalah merupakan bandar tertua di negeri Kedah dengan sejarah gemilangnya sebagai tempat bermulanya kesultanan bagi negeri -negeri Melayu( Lihat Sejarah Alor Setar).
Bagaimanapun saya tetap akan kembali ke Kedah kerana tidak ada negeri yang seindahnya di Semenanjung dengan kehijauan sawahnya,kebiruan Gunung Jerainya dan sekarang diindahkan pula oleh tanaman pokok-pokok besar yang berbunga warna warni di beberapa batang jalanraya termasuk di bandar Alor Setar, tetapi sayang kerajaan negeri tidak tahu untuk memperomosikannya sebagai tarikan pelancong. Bila berbunga,indahnya lebih dari sakura di Jepun tetapi kita tidak dapat merasakan nyaman dan segar udaranya kerana negara kita panas.Demikianlah sedikit catitan dari seorang yang tetap merindui kampung halamannya kerana tidak dapat pulang ke kampung di Hari raya walaupun lebih lama tinggal di Kuala Lumpur.