Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang telah membuat aduan terhadap 1MDB di beberapa negara, mengancam untuk menyaman Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan.
Ini berikutan kenyataan Nasrudin bahawa tindakan individu tertentu membuat laporan berhubung skandal berkenaan adalah bukti campur tangan asing di negara ini.
“Saya cabar Nasrudin Hasan untuk sebut nama saya secara terbuka sebagai pelapor kalau dia anak jantan.
“Saya nak berjumpa dengan beliau dalam kamar mahkamah dan biarkan proses undang-undang membuktikan siapa yang benar serta siapa yang bersalah.
“Kalau takut nak sebut nama saya tolong jangan campur tangan dalam isu skandal 1MDB, yang beliau, pemimpin-pemimpin serta PAS tidak tahu fakta hakikat kes skandal kewangan yang terbesar di dunia pada dekad ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairuddin menambah, sama ada Nasrudin menamakannya atau tidak, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin PAS itu sekiranya tiada permohonan maaf dibuat.
“Beliau ada empat hari mulai hari ini bagi merakamkan permohonan maaf tersebut kerana walaupun beliau tidak menyebut nama saya, sebagai fakta yang nyata semua orang di seluruh dunia tahu bahawa sayalah pelapornya.
“Seandainya ketua penerangan PAS yang bangang ini gagal berbuat demikian maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya!” kata Khairuddin.
Semalam, Nasrudin mempersoalkan motif di sebalik aduan terhadap 1MDB di luar negara dan mendakwa Amerika Syarikat cuba berlagak seperti polis dunia.
Beliau juga berkias dengan mengatakan ‘jangan undang beruang untuk tampar nyamuk di muka kancil’.
Bagaimanapun, Khairuddin membidas Nasrudin kerana menyamakan skandal 1MDB dengan “nyamuk”.
Read More / Baca Lagi >>