Tun Mahathir kesal pemimpin Umno, BN tak peduli reputasi buruk negara akibat 1MDB



Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kecewa dengan sikap pemimpin Umno dan BN yang terus mendiamkan diri walaupun mengetahui pemimpin mereka menyalahgunakan kuasa dan menjadi tumpuan siasatan dan tuduhan negara luar.
Tun Dr Mahathir MohamadPara pemimpin Umno dan BN, katanya mengetahui tentang saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dan penahanan jurubank serta penutupan bank di Singapura yang dikaitkan dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Mereka tahu tentang kegiatan rasuah berleluasa melibatkan duit curi yang dilakukan (Datuk Seri) Najib (Razak) bermula sebaik sahaja ianya menjawat jawatan (perdana menteri). Dia telah menghancurkan Umno dan negara,” dakwa Dr Mahathir dalam catatan terbaru di blognya, chedet.cc semalam.
Dr Mahathir menamakan Menteri Multimedia dan Komunikasi Mohd Salleh Said Keruak, Ketua Penerangan Umno Annuar Musa, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed sebagai antara mereka yang mengetahui perkara sebenar tetapi didakwa memilih untuk terus mendiamkan diri.
Dia juga kesal kerana pemimpin parti komponen BN daripada MIC dan MCA dan semua menteri Kabinet lepas tangan daripada masalah itu.
"Mereka tidak kisah apa yang akan jadi kepada negara ini, kepada rakyat dan kepada reputasi kerajaan yang baik yang dibina pemimpin terdahulu.
"Apa yang mereka kisah hanyalah kedudukan mereka, kemudahan yang mereka dapat serta kemungkinan besar dedak yang diperolehi. Biarlah negara ini hancur.
"Biarkan ianya dipanggil kleptokrasi. Biarkan ianya tersenarai sebagai di antara 10 negara paling korup di dunia. Mereka tidak kisah. Tidak mungkin mereka tidak tahu. Tetapi mereka tidak kisah,” kata Tun Mahathir yang kini menjawat pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Beliau turut memberi amaran kepada pemimpin pembangkang supaya berwaspada kerana mereka sedang ditakutkan dan membayangkan mereka mungkin akan ditahan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Terdapat beberapa tanda atau usaha untuk membina kes bagi menangkap dan menahan pemimpin pembangkang. Penahanan pemimpin pembangkang akan mengucar-kacirkan parti.
"Memang tindakan akan sebabkan rakyat marah tetapi ramai yang akan rasa takut untuk undi pembangkang. Mereka percaya yang Najib akan dapat tahu dan tindakan akan diambil terhadap mereka. Tanpa pemimpin mereka tidak akan tahu apa yang harus dilakukan," katanya.
Dia kemudian merayu kepada semua rakyat Malaysia untuk menolak Najib pada PRU 14 walaupun pemimpin pembangkang terpaksa merengkok dalam penjara.
"Ini adalah negara negara kita. Kita dilahirkan di sini. Kita dibesarkan di sini. Kita telah merasai kehidupan yang baik di sini, mendapat pendapatan yang halal dari pekerjaan yang dilakukan dan perkhidmatan yang diberikan.
"Selamatkanlah negara ini daripada dihancurkan dan diranapkan sama sekali," tegas beliau.

Subscribe to receive free email updates: