DAESH berjaya menduduki dan menguasai Raqqa pada Disember 2014. Setahun empat bulan selepas Syria dilanda Arab Spring. Berbanding Tunisia, Algeria, Libya dan Mesir yang menghadapi Arab Spring pada 2011 dengan peralihan kejatuhan pemimpin, Revolusi Cedar di Syria mencetuskan perang saudara hingga hari ini.
Syria melalui konflik perang yang kompleks. Bermula dengan rusuhan awam yang disokong AS, ia berlanjutan dengan pembentukan Syrian Liberation Army (SLA) disokong AS dan sekutu Barat.
Namun scenario perang saudara di Syria berkembang menjadi perang empat penjuru antara Tentera Syria menentang SLA, Daesh serta Jabat An Nusrat. Daesh dianggap paling berpengaruh kerana ideologi kumpulan ini bertujuan membentuk Negara Khalifah merangkumi Iraq dan Syria.
Empat tahun Daesh digeruni serta menguasai wilayah yang besar di Iraq dan Syria. Malah, pada satu ketika digelar ISIL iaitu Islamic State of Iraq And The Levant. Pada era puncaknya, kekuatan ketenteraan Daesh dianggarkan melebihi 100 ribu pejuang bersenjata.
Namun, Mei lalu, kubu kuat Daesh di Mosul, Iraq berjaya ditewaskan. Disusuli kejatuhan kubu kuat di Aleppo, Syria. Satu gambaran Daesh menuju kelumpuhan.
Namun, bagi pemerhati di Malaysia dan Indonesia, fokus utama terarah ke Raqqa berdekatan Aleppo. Di Raqqa wujud kem pejuang Daesh Nusantara yang dipercayai didiami 400 orang yang terdiri dari rakyat Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Selain pejuang lelaki, kem ini turut menjadi petempatan didiami isteri dan anak-anak mereka yang turut menyertai Daesh.
Raqqa kini sasaran akhir Tentera Syria selepas kejatuhan Aleppo. Saki-baki pejuang garisan depan di Aleppo sudah melarikan diri dan bersembunyi di Raqqa. Kepungan Tentera Syria menyebabkan hampir 50,000 orang awam terperangkap di kubu terakhir pemberontak.
PBB Syria turut memaklumkan, bekalan air dan keperluan lain semakin menyusut. Dianggarkan 2,500 pemberontak kini bersembunyi di Raqqa.
Pada 2015, menurut PBB, hampir 100 ribu orang awam berada di Raqqa. Namun, angka itu berkurangan setelah beberapa siri pemindahan penduduk awam dilakukan melalui siri gencatan senjata.
Minggu ini, Tentera Syria dengan bantuan jet pejuang Rusia dijangka melancarkan serangan dan ini menjadikan Raqqa terdedah pada pembunuhan awam. – MYNEWSHUB.CC