Hati-hati penglibatan Saudi lawan keganasan, kata Mat Sabu

Veteran politik itu mempersoalkan penglibatan Arab Saudi dalam melawan keganasan.
sabu-qatar-saudi-1
Malaysia tidak boleh memainkan peranan orang tengah di kalangan negara dalam krisis kerana dasar luar Putrajaya melencong daripada sikap berkecuali yang pernah dikenali dahulu, kata seorang ahli politik veteran.
Mohamad Sabu, salah seorang pemimpin pengasas Amanah dan bekas ahli Parlimen 3 penggal berkata, tawaran Malaysia untuk menjadi orang tengah dalam krisis berterusan antara Qatar dan negara jiran Arab yang terbabit dalam sekatan besar-besaran ke atas negara kecil itu, boleh dipersoalkan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia menyokong usaha menamatkan tekanan diplomatik di rantau itu berdasarkan persaudaraan Islam.
Najib pada masa sama memuji Arab Saudi sebagai tunggak kestabilan di Teluk dan menyeru agar keselamatannya dipertahankan.
“Oleh kerana ini, semua pihak perlu memastikan keselamatan dan kestabilan Arab Saudi sebagai Penjaga Dua Kota Suci, dilindungi dan dipelihara dengan sedaya upaya,” katanya.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Malaysia tidak layak menjadi orang tengah dalam krisis itu kerana ia kini proksi Saudi, malah menyokong operasi ketenteraan Riyadh di Yaman.
“Kita perlu berhati-hati dalam hal berkaitan Arab Saudi,” kata Mat Sabu kepada FMT.
Beliau turut mempersoalkan pengumuman Najib baru-baru ini berhubung komitmen Malaysia menjadi tuan rumah kepada Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang diilhamkan Arab Saudi.
Ahad lalu, Najib dilaporkan berkata, pusat baharu hasil perbincangan Malaysia dan pegawai Arab Saudi itu bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya.
Mat Sabtu melahirkan rasa terkilan Malaysia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk memerangi keganasan dan ekstremisme, sedangkan negara itu di bawah penelitian disebabkan ideologi pelampaunya.
“Pengaruh Arab Saudi ke atas kumpulan militan kini merupakan subjek perdebatan di banyak negara Eropah, dan seluruh dunia semakin bimbang,” katanya.
Butiran mengenai peranan sebenar KSCIP masih tidak jelas. Begitu juga, masih kabur mengapa ia memerlukan tanah begitu luas, iaitu menyamai keluasan hampir 20 padang bola Olimpik.
Semalam, FMT melaporkan sebuah organisasi berpangkalan di Arab Saudi yang terbabit dengan “pusat keamanan” itu, didakwa menggalakkan ideologi pelampau dan militan, termasuk kaitan dengan kumpulan seperti Al-Qaeda, Taliban dan IS.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: