Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) esok dijangka mengumumkan barisan struktur kepimpinan untuk gabungan itu, sebagai persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Perkembangan terbaru itu diberitahu Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul kepada Antarapos, sebentar tadi.
Johari turut memberitahu mesyuarat tersebut akan menyentuh isu berbangkit yang belum selesai sekaligus mengukuhkan gabungan tersebut.
"InsyaAllah, esok akan ada pengumuman.
"Logo saya tidak tahu tetapi segala struktur dan apa yang telah tertangguh sebelum ini akan dimaklumkan esok," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Sehingga kini, PH yang dianggotai DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih belum sepakat dalam memuktamadkan barisan kepimpinan utamanya yang dikatakan berpunca daripada beberapa cadangan yang berbeza dari setiap parti.
Beberapa nama dikatakan dicadang untuk mengisi jawatan tertentu, antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing sebagai Pengerusi dan Presiden PH.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula hanya dinamakan sebagai Timbalan Pengerusi PH sahaja.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menerusi kenyataannya menyatakan rasa bimbang jika PPBM menguasai PH, selain bertegas jawatan pengerusi tidak perlu diberi kuasa pemutus sebaliknya cukup sekadar penyelaras sahaja.