Pas kesal campur tangan asing dalam Skandal 1MDB..??


KOTA BHARU - Pas kesal apabila isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan campur tangan negara luar sedangkan tindakan itu boleh merugikan Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas secara jelas menolak 1MDB kerana ia didakwa merupakan satu perniagaan yang salah, sama ada dari sudut syarak atau hukum perniagaan.
“Jabatan Kehakiman (DOJ) berhak untuk melakukan siasatan ke atas siapa yang dia mahu yang melibatkan negara masing-masing termasuk isu 1MDB, tetapi kita rakyat Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa campur tangan dengan negara asing.
“1MDB ini bukan payah untuk difahami kerana rakyat sudah tahu ia adalah satu perniagaan yang dianggap melibatkan riba dan harta rakyat sebagai jaminan dalam perniagaan itu, malah banyak tadbir urus yang salah, juga ada campur tangan terutama politik,” dakwanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.
Nik Mohamad Abduh berkata, mencukupi atau memuaskan hati rakyat sekiranya suruhanjaya bebas ditubuhkan, namun apa yang menjadi masalahnya kata beliau, kerajaan dianggap gagal untuk berbuat demikian.
“Mereka bahkan cuba menyembunyikan sesuatu dalam siasatan 1MDB, jadi rakyat sudah boleh buat keputusan bahawa kerajaan BN memang gagal menangani isu 1MDB dan kita tidak perlu campur tangan negara asing.
“Kita tak akan jadikan DOJ sebagai rujukan kerana kita sendiri sudah ada kepakaran untuk menyiasat dan kita yakin isu 1MDB ini boleh disesuaikan dengan cara pembentukan suruhanjaya bebas, malah penubuhan itu sudah dipersetujui semua pihak termasuk pembangkang dan suara rakyat sendiri,” katanya.
Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, hanya BN sahaja yang menolak penubuhan suruhanjaya bebas tersebut, oleh itu segala tangungjawab terhadap isu 1MDB terletak kepada mereka.
“Pas berharap rakyat dapat menilai dengan baik dan menyeru rakyat supaya bangkit memastikan pemerintahan politik kembali ke landasan yang benar dan diurus tadbir dengan baik,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: