SINGAPURA: Harga minyak susut pada awal dagangan pagi ini apabila Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berkata ia menjangkakan permintaan minyak mentah susut tahun depan, sambil pesaingnya bakal mengeluarkan lebih banyak minyak.
Ia menunjukkan pasaran berlebihan pada 2018 di sebalik usaha untuk menyempitkan pasaran.
Niaga hadapan minyak mentah Brent mencecah AS$47.64 pada 0133 GMT, turun 10 cent, atau 0.2 peratus, berbanding penutup terakhirnya.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$45.37 setong, turun 12 cent, atau 0.3 peratus.
OPEC lewat semalam berkata dunia memerlukan 32.2 juta tong sehari (bpd) minyak mentah daripada negara anggotanya tahun depan, susut 60,000 bpd dari tahun ini apabila pengguna meningkatkan pilihan bekalan dari luar OPEC.
Sementara itu, OPEC berkata, outputnya meningkat 393,000 bpd pada Jun kepada 32.611 juta bpd. Kenaikan dipimpin oleh Nigeria dan Libya.
Ia berlaku di sebalik janji OPEC mengurangkan output sebanyak 1.2 juta bpd antara Januari tahun ini dan Mac 2018, manakala Russia dan pengeluar bukan OPEC lain berkata akan mengurangkan separuh daripada jumlah itu. - Reuters