PETISYEN RAKYAT MALAYSIA BOIKOT PENYENARAIAN EDRA

Edra Power Holdings Sdn Bhd adalah bekas anak syarikat 1MDB yang dijual kepada syarikat penjana bebas dan tenaga nuklear dari China, iaitu China General Nuclear Power Corporation. Setelah berhadapan dengan masalah hutang, pentadbiran Dato’ Seri Najib (melalui 1MDB) telah menjual aset-aset penjana elektrik di negara ini kepada syarikat milik negara China itu yang melanggar peraturan umum pemilikan penjana elektrik sehingga memerlukan pelepasan khas.

Akibatnya, syarikat milik negara China itu kini menjadi penjana bebas kedua terbesar di negara ini.

Semasa penjualan aset-aset penjanaan elektrik itu kepada syarikat milik China, pentadbiran Dato’ Seri Najib memberi alasan harga yang ditawarkan oleh syarikat itu (sebanyak RM9.83 bilion) adalah lebih tinggi dari yang ditawarkan oleh pembida terdekat iaitu TNB (sekitar RM8.6 bilion). Atas dasar itu, 1MDB memperjudikan aset strategik negara atas alasan dana yang disuntik oleh syarikat China itu boleh mengurangkan hutangnya, berbanding yang ditawarkan oleh TNB.

Sebab itu berita penyenaraian Edra untuk mengutip sehingga RM5 bilion dari pelabur di Bursa Malaysia ini adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Pertamanya, hutang-hutang yang perlu dibayar oleh 1MDB (sehingga menyebabkan aset-aset penjanaan terpaksa dijual) adalah berpunca dari pembelian aset-aset tersebut pada harga yang lebih tinggi dari pemilik asalnya (syarikat-syarikat yang rapat dengan Barisan Nasional).

Keduanya, wang yang diperolehi dari penerbitan hutang kononnya untuk menjalankan perniagaan 1MDB telah diselewengkan bagi tujuan pembelian harta peribadi dan berboros yang menyebabkan 1MDB tidak menjana apa-apa pulangan hingga hutant-hutangnya perlu ditanggung oleh pihak awam.

Oleh yang demikian, jika saham-saham yang bakal diterbitkan oleh Edra dilanggan pula oleh institusi pelaburan atau dana yang dimiliki oleh rakyat Malaysia, ini samalah seperti rakyat Malaysia menanggung hutang 1MDB dua kali:

1. Pertama – hutang pusingan pertama yang diambil oleh 1MDB dan telah diselewengkan

2. Kedua – rakyat Malaysia memberikan wang kepada pemilik Edra (China General Nuclear Power Corporation) untuk membayar kembali RM5 bilion yang telah dibayar oleh CGNPC kepada 1MDB

Maka, kami menyeru supaya institusi pelaburan awam dan dana awam terutamanya KWSP, Tabung Haji, KWAP, PERKESO, PNB, Khazanah, MARA dan semua pelaburan lain untuk memboikot dan menjauhi penyenaraian saham Edra untuk mengelakkan dana awam terjebak kali kedua di dalam skandal 1MDB.

Dato’ Seri Najib wajarlah memastikan wang yang dibayar kepada 1MDB hasil penjualan aset penjanaan elektrik kepada China General Nuclear Power Corporation kekal datang dari syarikat China itu, bukannya dibayar balik oleh rakyat Malaysia melalui penerbitan saham sebanyak RM5 bilion ini.

Tunjukkan sokongan anda sekarang dengan menandatangani petisyen ini di: http://bit.ly/PetisyenEDRA

Rafizi Ramli
Sukarelawan INVOKE #00001

Subscribe to receive free email updates: