Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, peguam negara perlu mendapatkan bantuan Interpol untuk mencari ahli perniagaan itu bagi tujuan soal siasat.
Naib Presiden PKR, Tian Chua meminta peguam negara mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa Low Taek Jho pulang ke negara ini, selepas pendakwa raya Singapura menyatakan 1MDB ialah “mangsa” ahli perniagaan itu.Merujuk siasatan ke atas aktiviti perbankan luar biasa dikaitkan dengan 1MDB di Singapura, ahli Parlimen Batu itu berkata, sudah tiba masanya kerajaan menjawab soalan sama ada ia bersetuju atau tidak dengan tindakan yang diambil setakat ini.
“Ia semakin sukar untuk kerajaan mendiamkan diri.
“Sama ada kerajaan Malaysia bersetuju dengan kerajaan Singapura yang Low, lebih dikenali sebagai Jho Low, ‘sengaja merancang seluruh skim’ untuk menipu rakyat Malaysia, atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengakui beliau ialah mangsa Low.
“Jika tidak, ia mungkin memberi tanggapan beliau sebahagian daripada skim itu,” kata Tian Chua kepada FMT.
Pendakwa raya di Singapura menamakan low sebagai tumpuan dalam siasatan berkaitan 1MDB dan dia menggunakan wang yang boleh dikesan kepada dana milik kerajaan itu untuk tujuan peribadi.
Dalam pemfailan mahkamah yang didedahkan semalam, pendakwa raya berkata, Low menerima sejumlah wang “amat besar”.
Kira-kira AS$1 bilion (RM4.3 bilion) yang ingin dilaburkan 1MDB dalam usaha sama PetroSaudi International Ltd dilencong ke akaun bank milik Low.
“Mangsa utama dalam kes ini ialah 1MDB,” kata pendakwa raya Nathaniel Khng di mahkamah Singapura.
Jho Low sudah hilang dari pandangan umum.
Tian Chua berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu segera mengkaji penemuan mahkamah Singapura itu.
“AG (peguam negara) perlu bertindak. Perkara logik ialah AG perlu membawa pulang Jho Low untuk siasatan atau disebabkan dia hilang, maklumkan Interpol untuk mencari dia bagi tujuan soal siasat,” katanya.
Pemimpin PKR itu berkata, sekarang ialah masa untuk Najib melupakan kepentingan peribadi dan membenarkan anak tirinya, Riza Aziz disoal siasat polis.
“Kami tahu dia (Riza) berada di Malaysia. AG tidak perlu bantuan Interpol untuk mencari dia,” katanya.
Riza ialah penerbit filem dan pengasas bersama serta pengerusi Red Granite Pictures, sebuah syarikat penerbitan filem yang berpangkalan di Los Angeles.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata, perdana menteri perlu menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat ketika ia bersidang semula 24 Julai ini.
“Sama seperti perdana menteri Singapura menjawab isu dengan adik-beradiknya, Najib perlu berbuat perkara sama.”
Naib pengerusi DAP itu berkata, lebih baik Dewan Rakyat mengadakan sidang tergempar berhubung perkara itu.
Read More / Baca Lagi >>