SOALAN KEPADA BERSATU DARI AHLI DAP

Umno pada hari ini adalah Umno versi Kleptokrasi. Datuk Seri Najib Razak telah merampas Umno Baru yang dicipta oleh Tun Mahathir ketika krisis kepimpinan Umno 88/89 dahulu.
Maka itu saya melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ini seakan-akan jelmaan kembali Umno 89, bukan Umno 46 yang bersifat nasionalis.
Umno 89 mempunyai kelebihan pada masa itu apabila mereka ada semua tokoh-tokoh penting. Begitu juga dengan PPBM ini, memiliki ketokohan dalam barisan kepempinan kanannya.
Pemimpin kanan BERSATU yang kebanyakkannya berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan terdahulu telah mencadangkan kepimpinannya dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).
Saya ambil cadangan ini sebagai suatu hal yang positif. Namun, saya bermasalah sedikit dengan cadangan ini kerana ia hanya datang dengan tiket untuk menumbangkan Najib, tiada pakej lain.
AMANAH, PKR dan DAP masing-masing telah jelaskan pakejnya. Selain mahu menjadikan Umno BN pembangkang, parti-parti ini sudah siap dengan agenda-agenda membangunkan kembali negara ini, baik dalam aspek keadilan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.
Idea dari naskhah Buku Jingga sekurang-kurangnya telah menjadi model asas pakej-pakej tersebut. Apapun, ia pastinya perlu disusun kembali sesuai dengan keperluan dan kehendak zaman ini.
Pakej tawaran BERSATU
Tetapi bagaimana dengan pakej tawaran dari rakan baru HARAPAN, iaitu BERSATU?
Tawaran untuk menumbangkan Umno Najib dengan mengetuai jentera HARAPAN, bagi saya tidak memadai. Saya merasakan tidak ada yang baru dengan tawaran ini.
Maksud saya, saya belum dapat melihat tawaran BERSATU yang lebih mengiurkan buat rakyat, khususnya orang Melayu yang menjadi tunjang dan sasaran BERSATU.
Ya, barangkali benar BERSATU mampu tembus ke kawasan yang gagal ditembusi oleh HARAPAN (dulunya Pakatan Rakyat). BERSATU juga mampu menarik sejumlah besar pendengar untuk datang mendengar ceramahnya.
Tetapi tawarannya apa?
Berkempen dengan hujah untuk menumbangkan Najib tidak akan sama dengan kempen dan hujah untuk membina kembali negara yang telah rosak ini.
Hujah untuk menumbangkan Najib akan tertumpu mencari kelemahan Najib dan memperlekeh Najib. Mengkritik Najib ini saya kira satu kerja yang sangat mudah ketika ini, bagi PKR, DAP atau AMANAH, mengkritik Najib ini hal kacang, skrip dah ada.
Model pentadbiran BERSATU
Apatah lagi hari ini skandal Najib terkenal seantero dunia, hinggakan anak muda yang tidak kenal Umno pun tahu nak ‘troll’ Najib.
Adakah hujah untuk menumbangkan Najib akan menjadi kekuatan penting kepada BERSATU atau HARAPAN?
Tokoh-tokoh kanan pimpinan BERSATU mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam kerajaan, saya akui. Saya yakin jika mereka bersama-sama dengan tokoh-tokoh dalam HARAPAN, pasti boleh menyusun kembali pentadbiran negara ini.
Tetapi apakah model pentadbiran yang akan diajukan oleh BERSATU? Hingga kini, saya belum dapat lihat model itu. Adakah BERSATU akan mencadangkan model yang sama dengan kerajaan Umno 89?
Berpolitik bukan sahaja soal nak menang, tetapi membina imaginasi untuk mencapai kemenangan.
Jika ia filem, mana naskhah skripnya? Jika ia kereta, mana lukisan teknikalnya? Jika ia perniagaan, mana model perniagaannya?
Disamping itu, saya juga tertanya-tanya dimanakah Deklarasi Rakyat yang dirumus dan dibacakan dahulu? Adakah ia sudah tidak relevan?
Deklarasi Rakyat
Adakah Deklarasi Rakyat itu boleh dicanai oleh BERSATU dalam bentuk-bentuk polisi ekonomi, sosial, kebajikan dan kebudayaan dalam konteks sebuah naskhah untuk membina kembali negara ini?
Tun Mahathir Mohamad mengatakan, siapa calon perdana menteri tak penting, yang penting menang dahulu. Saya faham dan bersetuju, tetapi bagaimana mahu menang jika agenda nak membangunkan negara itu pun belum BERSATU kemukakan.
Bagi saya, selain hujah untuk menumbangkan Najib, tawaran untuk membina kembali negara yang telah rosak ini, lebih penting. Ia akan menjadi faktor penarik kepada rakyat untuk yakin dan memangkah HARAPAN.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: