Dalam kenyataan bersama Ketua Penerangan Pakatan Harapan Tony Pua, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dan Ketua Penerangan Bersatu, Kamaruddin Md Noor berkata, adalah jelas bahawa 1MDB telah gagal menebus pelaburan 'unit'nya sejak hujung tahun 2014 hingga hari ini walaupun pihak pengurusan utama 1MDB telah berkali-kali berjanji kepada Lembaga Pengarah 1MDB bahawa pelaburan tersebut akan ditebus.
Mereka merujuk kepada kenyataan 1MDB bertarikh 24 April yang mengatakan bahawa “tanggungjawab ini akan dipenuhi oleh 1MDB, terutamanya menerusi usaha pengewangan unit dana pelaburan yang dimilikinya.”
“Ini bermaksud bahawa bayaran pertama berjumlah US$602,725,000 (RM2.58 bilion) sepatutnya dibayar pada tengahari semalam dengan wang penebusan pelaburan 'unit' 1MDB," kata kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, mereka berkata, kegagalan 1MDB untuk menebus ‘pelaburan’ ‘unit’ tersebut tidak lagi memeranjatkan kerana para pelabur Malaysia dan antarabangsa telah lama mengesyaki bahawa ‘pelaburan’ berkenaan sama ada tidak wujud atau adalah satu kepalsuan.
Menurut mereka, saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (DOJ) mendedahkan bahawa ‘unit-unit’ tersebut adalah pelaburan palsu untuk menyembunyikan penyelewengan dana 1MDB yang sepatutnya dilabur bersama Petrosaudi International Limited.
“Apa yang jelas sekarang ialah pengesahan DOJ bahawa pelaburan ‘unit’ tersebut telah menjejaskan segala percubaan dan tindakan 1MDB dan kementerian kewangan untuk terus 'menutup' penipuan dan penyelewengan pelaburan 1MDB,” kata mereka.
Semalam, 1MDB terlepas tarikh akhir bayaran yang tamat pada tengah malam, waktu New York, atau tengah hari waktu Malaysia.
IPIC sedang cuba mendapatkan AS$ 6.5 bilion daripada 1MDB. Ini susulan persetujuan kedua-dua firma tersebut dalam penyelesaian sebelum proses timbang tara di London.
Read More / Baca Lagi >>