Ahli DAP desak pimpinan umum senarai perwakilan mengundi pemilihan 2012

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
BUTTERWORTH: DAP digesa mengumumkan senarai nama-nama perwakilan beserta nombor kad pengenalan mereka yang layak mengundi dalam pemilihan parti pada 2012 yang menjadi kontroversi parti itu sehingga kini.
 
Ahli DAP Cawangan Bagan Luar, M. Sarawana mahu pengumuman itu dilakukan di kesemua akhbar pelbagai bahasa.
 
"Kami sudah mohon DAP (umumkan senarai nama untuk) pemilihan semula anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). DAP harus umumkan perwakilan yang layak mengundi semasa pemilihan DAP pada 2012," katanya pada sidang medianya semalam.
 
Pemilihan 2012 itu tidak akan menjadi pertikaian sekiranya senarai itu diberikan mengikut negeri dan cawangan masing-masing bagi memastikan proses pemilihan itu berjalan dengan lancar dan telus.
 
Sarawana juga mengkritik kepimpinan parti yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam menjalankan proses pemilihan itu.
 
"Kami di peringkat akar umbi tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan pada 1 Okt ini. Ini penting untuk mempertahankan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan adil.
 
"Anggota-anggota DAP patut berwaspada dengan golongan yang sentiasa memperdaya tipu muslihat mereka kononnya mereka membuat keputusan demi parti tetapi sebenarnya tindak tanduk mereka kelihatan menjurus ke arah mempertahankan kepentingan pihak tertentu," katanya.
 
Apa yang lebih menghairankan, menurut Sarawana adalah keengganan pemimpin DAP, yang pakar dalam perkara perundangan namun tidak bersuara dan memperbetulkan salah laku dalam parti.
 
"DAP mempunyai ramai peguam yang selalu berjuang demi individu seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, mengapa peguam-peguam DAP ini tidak berjuang untuk membetulkan pemilihan itu.
 
"Soalan kami apa yang peguam-peguam ini buat demi parti, kami mohon supaya mereka tidak melanggar undang-undang dan memalukan parti. Mereka yang tidak menghormati perlembagaan parti sendiri tidak layak memimpin parti," katanya

Subscribe to receive free email updates: