PPBM berpegang teguh pada keputusan yang dicapai secara konsensus ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan 29 Ogos lalu untuk tidak lagi berunding dengan PAS dalam PRU ke - 14.
Pendirian itu sekaligus menempelak kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan telah memberi 'lampu hijau' untuk mengadakan rundingan dengan partinya.
"Kita buat keputusan tidak ada rundingan lagi, itu keputusannya. Jadi Tuan Ibrahim cakap itu pun saya tidak pasti ia mewakili PAS atau tidak.
"PPBM kita buat keputusan bersama dengan PH dan keputusan ini keputusan PH, bermakna kita jadi anggota PH, bukan keputusan PPBM berasingan dengan PH, ini adalah keputusan parti gabungan dan kita anggotanya, jadi kita ikut sama mendokong keputusan itu," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Malah PPBM juga turut mengingatkan parti - parti lain dalam Pakatan agar setiap pandangan dan keputusan yang ingin dibuat perlu dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu.
Mengulas mengenai perkara itu, PPBM berkata mana - mana pihak berhak mengeluarkan pandangan peribadi namun mengulangi penegasannya bahawa setiap pandangan itu perlu disuarakan dalam mesyuarat Pakatan.
"Itu kenyataan peribadi dia (Ambiga) manakala kenyataan parti lain, jadi kalau ada apa-apa pandangan dia jadi dia boleh bawa dalam mesyuarat dan persidangan parti.
"Sivarasa juga sama, dia dari PKR jadi dia boleh bawa dalam partinya dan partinya boleh bawa dalam PH dan saya fikir kita tidak wajar melayan pandangan peribadi dan apa-apa sahaja pandangan yang dikeluarkan adalah melalui parti masing-masing
"Apa-apa keputusan kita buat bersama bukan keputusan sendiri, kita adalah anggota PH jadi apa-apa keputusan untuk kepentingan bersama maka sewajarnya kita buat keputusan bersama dan keputusan setakat kini telah tamat masa untuk berunding dengan PAS," ujarnya lagi.
Terdahulu, bekas pengerusi bersama BERSIH 2.0, Ambiga Sreenevasan meminta Pakatan untuk mengadakan rundingan dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Cadangan itu kemudiannya disokong Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasa.