Presiden Warisan itu berharap SPRM akan menjalankan siasatan dengan adil dan tidak membuat penilaian terlalu awal.
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atasnya bermotifkan politik dan berharap mereka tidak akan membuat sebarang penilaian awal.“Saya merasakan ia bermotifkan politik,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Parlimen, hari ini.
“Mereka (SPRM) hanya jalankan tugas dan saya tidak akan membuat sebarang rungutan. Ia harus dijalankan dengan adil, apa yang penting jangan membuat sebarang penilaian terlalu awal.”
Ketibaan ahli Parlimen Semporna itu di Parlimen disambut Timbalan Presiden Warisan, Darrel Leiking, yang juga ahli Parlimen Penampang.
Shafie direman SPRM selama 8 hari bagi membantu siasatan membabitkan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah berjumlah RM1.5 bilion.
Beliau dibebaskan daripada tahanan reman Jumaat lalu.
Selain Shafie, turut ditahan adalah 2 adiknya, Hamid dan Datuk Yusof yang juga adun Lahad Datu daripada Umno.
Pada 25 Oktober lalu, Yusof dilapor menafikan beliau merupakan mangsa permainan politik pemerintah, sebaliknya pembangkang membuat dakwaan itu untuk memenangi sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau juga berikrar akan terus setia kepada Umno dan memastikan parti itu terus menjadi pilihan rakyat.
Read More / Baca Lagi >>