Rampasan Equanimity: AG perlu mulakan tindakan mahkamah, Jho Low tampil bersih nama


Peguam Negara (AG) perlu memulakan tindakan mahkamah terhadap Jho Low  dan lain-lain individu yang dipercayai terlibat dalam skandal 1MD selepas kapal mewah Equanimity bernilai RM1 bilion dirampas oleh polis Indonesia di Bali semalam.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil  juga berkata, Jho Low  perlu tampil ke hadapan untuk membersihkan namanya di negara-negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, termasuk di Amerika Syarikat .
Rampasan Equanimity: AG perlu mulakan tindakan mahkamah, Jho Low tampil bersih nama“Selagi Jho Low tidak dihadapkan ke mahkamah di Malaysia dan di mana-mana negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, selagi itu persepsi keterlibatan Jho Low dan individu-individu lain dalam skandal penyelewengan wang 1MDB akan mengukuh tuduhan itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada reaksi Jho Low yang mengecam tindakan dilakukan polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) yang melakukan rampasan ke atas kapal mewah itu.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) sebelum ini mendakwa  Low Taek Jho  atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, mengarahkan kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa disalah guna daripada 1MDB.
Rampasan kapal mewah itu disiarkan menerusi stesen televisyen Indonesia Metro TV.
Polis Indonesia dan FBI merampas Equanimity di perairan Bali selepas memantaunya selama lapan hari.
Laporan media Indonesia menunjukkan kapal itu berada di perairan Indonesia sejak November tahun lalu.
Metro TV berkata ia dirampas dengan kebenaran mahkamah.
Menurut Fahmi lagi, beliau percaya ramai rakyat Malaysia yang menerima baik berita rampasan kapal mewah ini.
Namun,ujarnya lagi, Malaysia juga malu kerana ia menunjukkan bagaimana tindakan undang-undang berkaitan skandal 1MDB kelihatan hanya berlaku di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, Singapura, Luxembourg, Switzerland dan terkini Indonesia.
‘Memandangkan Jho Low telah mengecam rampasan kapal mewah beliau, dan memandangkan rampasan tersebut dibuat atas dakwaan wang RM 1 bilion yang diguna untuk membeli kapal mewah diseleweng dari 1MDB, Jho Low sebenarnya perlu segera pulang ke Malaysia dan membersihkan nama beliau dengan menyerah diri untuk didakwa di mahkamah di negara ini,’ tegasnya.

Subscribe to receive free email updates: