ANALISA TERAKHIR PRU 14 : PENYOKONG PH LENA DIULIT 'HARAPAN', BN BERGANTUNG KEPADA JENTERA AKAR UMBI

Sejak beberapa hari yang lalu, penyokong Pakatan Harapan (PH) menjaja ceramah-ceramah umum yang berjaya mereka laksanakan dengan puluhan ribu penonton ke ceramah tersebut. Walaupun majoriti yang hadir adalah kaum bukan Melayu, penyokong PH masih yakin bahawa tsunami Melayu akan berlaku. Selain daripada kehadiran ketika ceramah, puluhan ribu yang menonton melalui media sosial turut menjadi ukuran penyokong PH. Mereka benar-benar yakin bahawa mereka akan menang dalam PRU kali ini.

Pada 4 Mei 2018 pula, pusat thinktank pembangkang (Institut Darul Ehsan - IDE) telah membentangkan laporan kajian tiga penjuru kepada media. Dalam kajian tersebut, IDE meramalkan BN berpeluang besar di 7 kerusi DUN dan berpotensi di 18 kawasan DUN lagi menjadikan 25 kerusi DUN bakal menjadi milik BN.

Sumber : Kajian Tiga Penjuru oleh IDE pada 4 Mei 2018

Apa yang menarik perhatian penulis adalah metod kajian IDE adalah hampir sama dengan analisa kami sebelum ini iaitu merujuk kepada trend pengundian sebelum ini dan tidak bergantung kepada questionnaire semata-mata seperti kajian INVOKE dan Merdeka Center. IDE juga merujuk kepada persempadanan semula yang mengubah demografi pengundi di Selangor. Paling menarik perhatian adalah jawapan yang diberikan oleh pakar IDE semasa sesi soal jawab berlangsung. Pakar tersebut menyenaraikan beberapa tahap keberkesanan sesuatu kempen pilihan raya seperti di bawah:

Sumber : Kajian Tiga Penjuru oleh IDE pada 4 Mei 2018
Daripada graf di atas menunjukkan pemberian bantuan merupakan kaedah kempen yang paling berkesan dengan 52% diikuti dengan kempen rumah ke rumah dengan 17%. Lain-lain kaedah yang digariskan adalah ceramah umum (13%), poster dan bendera (5%), ceramah berkelompok (3%), video calon (1%), aktif di media sosial (5%) dan lain-lain (5%). Dari pemerhatian semasa tempoh berkempen, jentera BN amat aktif dalam pemberian bantuan, kempen rumah ke rumah, ceramah berkelompok dan di media siber. Oleh yang demikian, tidak mungkin hasil penat lelah jentera BN tidak berkesan berbanding 13% kesan ceramah umum yang dicanang oleh pengikut PH.

Menjelang hari pengundian, apa yang penting sekarang ini adalah usaha-usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh jentera parti terutamanya membawa keluar pengundi putih semasa hari mengundi. Dengan gerak kerja yang mantap, sudah pasti akan memberikan hasil dengan kemenangan di tangan BN. Biarlah penyokong-penyokong pembangkang lena diulit 'harapan' kesan kepada ramainya penonton semasa ceramah umum mereka. Mereka mungkin terlupa bahawa semasa reformasi, lebih ramai yang turun semasa ceramah Anwar Ibrahim tetap pembangkang tetap kalah kerana bersandarkan semasa ceramah-ceramah tanpa mendekati pengundi secara bersemuka. Daripada maklumat yang kami terimta di peringkat akar umbi, ramai pengundi yang belum kenal calon dari PH kerana kebanyakan mereka adalah calon muda dan datang dari kawasan yang lain untuk bertanding. 

Penulis yakin bahawa ketika ini, majoriti pengundi telah mempunyai pilihan di hati mereka. Walaupun dijangka Tun Mahathir akan memberikan amanat terakhir pada malam sebelum mengundi, kami yakin ianya hanya akan menguatkan tekad penyokong-penyokong PH sahaja. Mungkin ada pengundi kali pertama atau pun atas pagar yang akan terkesan tetapi bukan untuk blok pengundi putih BN dan PAS. Dengan keadaan jalan di Lembah Kelang, didapati ramai juga pengundi luar kawasan telah bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing. Dijangkakan, jumlah keluar mengundi kali ini adalah sekitar 75% hingga 80%. Trend pengundian atas pagar mungkin akan berubah atas sebab kesan kempen ceramah umum PH dan meningkat sokongan mereka kepada 40%.

ANALISA AKHIR:
Kerusi BN : 140 ke 150 kerusi
Kerusi PH + Warisan : 65 ke 75 kerusi
Kerusi PAS : 5 ke 15 kerusi
Peratus keluar mengundi : 75 - 80%

PH mungkin akan mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang.
Kemungkinan Kerajaan campuran di Kelantan dan Kedah.
BN akan menambah kerusi yang di Sarawak serta kerusi yang dipegang oleh PKR dan PAS dalam PRU 13.

Subscribe to receive free email updates: