Gugur: Cikgu Pa yang mahu undur diri, kata PAS

PAS menafikan pihaknya menggugurkan bekas pengarah pilihanraya parti Islam itu, Datuk Mustafa Ali, sebaliknya ia adalah permintaannya sendiri.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Mustafa telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyatakan hasrat tersebut sebelum pemilihan berlangsung.
“Cikgu Pa minta supaya kalau boleh diberi laluan kepada tokoh baru kerana dia sudah lama dan pada pandangan beliau juga, sudah sampai masanya barisan pelapis diangkat.
“Beliau bersedia menjadi penasihat dan pembimbing kepada parti menjelang pilihan raya ini. Presiden juga telah melihat cadangan beliau ini sebagai positif dan kita wujudkan satu jawatankuasa untuk menjadi penasihat presiden,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.
Kenyataan ini dikeluarkan sekaligus menepis dakwaan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang mendedahkan bahawa kecenderungan ke arah Pakatan Harapan adalah punca sebenar Mustafa digugurkan daripada jawatan lamanya itu.
Tugas terakhir Mustafa sebelum muktamar di Kota Sarang Semut, Alor Setar akhir April lalu ialah pengarah pilihan raya, suatu jawatan yang penting terutama ketika demam pilihan raya semakin menghampiri.
Apabila barisan kepimpinan baru PAS diumumkan setiausaha agungnya pada 6 Mei lalu, nama Mustafa tidak kedengaran.
Sebaliknya Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan tugas pengarah pilihan raya PAS kini disandang Setiausaha Politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: