Markas Sindiket Pelekat Palsu Perisian Komputer Diserbu


Menjual pelekat sijil pengesahan (COA) palsu melalui portal dan aplikasi jualan dalam talian.

Itu modus operandi sindiket penipuan yang dikesan bergerak aktif sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, sindiket terbabit mendapatkan pelekat palsu berkenaan daripada China dan ditampal pada perisian komputer.

Sindiket terbabit kemudian menjualnya pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran berikutan mereka menggunakan COA palsu.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dengan bantuan anggota KPDNKK Melaka susulan serbuan di empat lokasi di Melaka.

Ketua Unit Siasatan Forensik Khas (SIFU) Penolong Pengarah Kanan Aminuddin Muhammad berkata, operasi membabitkan lima anggota SIFU dan 12 anggota KPDNKK Melaka.

“Pihak kami memeriksa empat kediaman yang disyaki dijadikan markas sindiket berkenaan masing-masing di Taman Delima, Bukit Beruang; Taman Merbok, Ayer Keroh dan di Taman Jati, Batu Berendam.

“Hasil pemeriksaan di dua rumah itu menemui 18 COA palsu, manakala pemeriksaan di dua rumah lagi gagal menemui sebarang barang yang boleh disyaki,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas satu telefon bimbit dan satu komputer riba untuk tujuan siasatan dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM15,000.

Menurutnya, selain menjual perisian menggunakan pelekat palsu, suspek turut menjual pelekat saja melalui atas talian kepada mana-mana individu yang berminat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 membekal atau menawarkan untuk membekalkan barang yang digunakan perihal dagangan palsu,” katanya.-myMetro

Subscribe to receive free email updates: