KUALA LUMPUR: Pembantu warden madrasah tahfiz di Kota Tinggi yang direman bagi siasatan kes pukul pelajar berusia 11 tahun, dibebaskan dengan bon mahkamah kerana tiada keterangan yang mencukupi untuk mendakwanya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu diputuskan selepas berbincang dengan Jabatan Peguam Negara.
"Perkara
ini bila kita bawa berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mendapati tidak cukup keterangan untuk kita teruskan (dakwaan) di bawah Seksyen 302, sebab itu mahkamah membenarkan dia (suspek) dijamin bon mahkamah.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302, tetapi sama ada pertuduhan boleh dibuat atau tidak, itu perkara kedua," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Pegawai-pegawai Aset Polis Diraja Malaysia (PRDM) di sini, hari ini.
Di Kota Tinggi, Hakim Mahkamah Sesyen, Salawati Djambari semalam membenarkan permohonan polis untuk membebaskan suspek lelaki berusia 29 tahun itu dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM20,000. - BERNAMA\