Czech Benar Orang Awam Lepaskan Tembakan Jika Terancam



PRAGUE - REPUBLIC CZECH. Parlimen Czech, kelmarin meluluskan pindaan Perlembagaan yang mencabar peraturan kawalan senjata Kesatuan Eropah (EU) dengan pemegang senjata api sah menggunakannya apabila keselamatan negara terancam termasuk ketika serangan pengganas.

Pindaan yang diluluskan majoriti besar itu dijangka mendapat kelulusan mudah daripada Senat dan Presiden Milos Zeman sebelum dikuatkuasakan.

Seramai 139 daripada 168 timbalan di Parlimen undi menyokong manakala sembilan menolak pindaan tersebut.

"Kami mahu rakyat dilindungi dengan senjata api masing-masing di tengah-tengah situasi keselamatan yang semakin meruncing di negara ini. Buktikan kepada saya serangan pengganas di Eropah yang menggunakan senjata api secara sah," kata Menteri Dalam Negeri, Milan Chovanec.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan tersebut akan melibatkan hampir 300,000 pemegang lesen senjata api sah di negara yang mempunyai 10.6 juta populasi penduduk.

Mac lalu, undang-undang kawalan senjata api baharu EU yang diluluskan Parlimen Eropah melarang orang awam memiliki beberapa senjata semi-automatik sebagai sebahagian daripada langkah antikeganasan. - Reuters

Subscribe to receive free email updates: